Wakaf Media memperkasa peranan media sebagai medium dakwah digital

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Tabung Dana Wakaf Media atau Wakaf Media adalah satu inisiatif strategik hasil kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan TV AlHijrah sebagai langkah memperkukuh ekosistem dakwah Islam yang mampan dan berdaya saing seiring arus era pendigitalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Dalam dunia yang semakin moden dan dinamik, landskap kehidupan manusia kini bergerak pantas seiring dengan kemajuan teknologi dan pendigitalan.

Kita sedang berada dalam era pasca normal, di mana hampir setiap aspek kehidupan, sama ada pendidikan, ekonomi, hinggalah kepada pembentukan pemikiran masyarakat, dipengaruhi secara langsung oleh peranan media massa dan platform digital.

Dr. Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Wakaf Media kerjasama antara YWM dan TV AlHijrah di Hotel Everly, dekat sini pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli; Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Hj. Mohd Khair Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Hj. Namanzee Harris; Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Hj. Mohd Amran Mat Zain; dan Presiden MCM Value Sdn. Bhd, Dato’ Sr. Dr. Mohd Mazlan Che Mat.

Dr. Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata Kerajaan Malaysia MADANI hari ini terus memperkukuh peranan media sebagai wahana dakwah berimpak tinggi menerusi pelancaran Wakaf Media.

Menurut beliau dalam era pasca normal, kehidupan masa kini yang dipacu oleh pendigitalan dan media massa menuntut pendekatan dakwah yang lebih progresif, kreatif dan strategik.

Katanya, media bukan lagi sekadar saluran hiburan dan penyampaian maklumat, sebaliknya menjadi instrumen penting dalam membentuk pemikiran, nilai dan akhlak masyarakat, khususnya generasi muda.

“Selaras dengan seruan Perdana Menteri, sistem kewangan Islam perlulah lebih dinamik, adaptif seterusnya berkembang sebagai elemen penyelesaian yang stabil dan lestari demi kesejahteraan ummah.

“Dalam konteks semasa, instrumen wakaf ini perlu diteroka secara lebih kreatif dan strategik agar terus relevan dengan cabaran zaman, termasuk dalam sektor media
digital dan dakwah,”katanya lagi.

Ujarnya, pelaksanaan Wakaf Media ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan bukan sahaja dari aspek ekonomi dan fizikal, tetapi turut
merangkumi pembinaan jiwa, nilai dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

“Kerjasama strategik bersama TV AlHijrah, sebuah stesen penyiaran Islam yang diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Penyedia Kandungan Islam Terbaik 2024 diyakini mampu memastikan penyampaian mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah dapat diteruskan secara konsisten dan berwibawa.

“Inisiatif ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju wakaf kontemporari di peringkat dunia Islam melalui pengurusan yang sistematik, profesional dan patuh syariah sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia MADANI yang berilmu, berakhlak dan maju,”ujarnya lagi.

Beliau mengajak kepada semua untuk sama-sama menyokong dan menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Media ini sebagai jambatan dakwah dan lautan ilmu yang akan terus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Dalam pada itu, YWM memaklumkan setiap sumbangan wakaf di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM adalah merupakan projek berkepentingan nasional, yang membolehkan setiap pewakafan tunai kepada YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Salurkan sumbangan wakaf ke akaun YWM dengan mengimbas QR Duitnow YWM – Wakaf Media. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat