Wakil Pulau Pinang Tegas: Persempadanan Baharu Jangan Rugikan Parlimen Melayu

KUALA LUMPUR – Wakil UMNO Pulau Pinang menegaskan sebarang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilaksanakan secara adil dan tidak hanya melibatkan pemecahan kawasan Parlimen bukan Melayu semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kepentingan kawasan majoriti Melayu.

Berucap dalam sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Mohd Noor Ahmad berkata pembangunan pesat dan tidak terkawal khususnya di Pulau Pinang telah menghakis status beberapa kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Melayu.

Beliau mengambil contoh Bayan Baru yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai Parlimen Melayu, namun kini berubah susulan pertumbuhan pembangunan dan perubahan demografi yang ketara .

Menurutnya, kebimbangan sama turut melibatkan beberapa kawasan lain seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal yang berisiko kehilangan ciri sebagai kawasan Parlimen Melayu jika tiada kawalan dan perancangan teliti dilakukan.

Sehubungan itu, beliau meminta Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, agar memberi perhatian serius terhadap sebarang cadangan persempadanan semula dalam penggal pentadbiran PRU15.

“Jika mahu mewujudkan kawasan Parlimen baharu, jangan biarkan hanya kawasan Parlimen bukan Melayu sahaja yang dipecahkan kerana ia akan menambah representasi pihak tertentu dalam Parlimen,” katanya.

Beliau menegaskan, kawasan sasaran Parlimen Melayu juga perlu melalui proses persempadanan yang adil supaya bilangan kerusi Parlimen Melayu benar-benar mencerminkan komposisi populasi sebenar orang Melayu di negara ini.

Malah, beliau memberi amaran sekiranya prinsip tersebut tidak dipatuhi, UMNO wajar menolak sebarang cadangan persempadanan semula meskipun parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Malaysia, demi mempertahankan kepentingan dan representasi politik Melayu.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat