Kebencian Terhadap Gejala Rasuah Harus Disemai Dari Kecil – SUA PBM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Dalam usaha untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju, antara aspek utama yang perlu dititikberatkan adalah untuk membasmi gejala rasuah di semua peringkat, kata Setiausaha Agung (SUA) Parti Bangsa Malaysia (PBM) Nor Hizwan Ahmad.

“Gejala rasuah yang menjadi barah di dalam masyarakat kita di Malaysia bukan sahaja berlaku di kalangan penjawat awam, tetapi juga terjadi di dalam sektor swasta.

“Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2016 hingga November 2021, sebanyak 12% dari keseluruhan kes atau 5,050 kes rasuah di dalam sektor swasta telah dilaporkan kepada agensi tersebut.

“Perkara ini amat membimbangkan dan sekiranya tiada tindakan tegas diambil, kita khuatir gejala ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Justeru itu, kata Nor Hizwan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah menggariskan 6 tunjang utama yang melibatkan pembangunan ekonomi, anak muda, wanita, pendidikan, sains & teknologi dan kepelbagaian kaum sebagai usaha untuk menjana kebangkitan semula Malaysia di persada dunia.

“Namun, sekiranya gejala rasuah tidak dibanteras secara menyeluruh, kita tetap tidak akan berupaya untuk menjadi sebuah negara maju yang disegani oleh masyarakat antarabangsa.

“Kami percaya, untuk menghapuskan gejala rasuah sehingga ke akar umbi, ia wajar dilaksanakan melalui sistem pendidikan negara bermula dengan pendidikan di sekolah rendah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, anak-anak harus diajar untuk membenci rasuah dan mengamalkan prinsip integriti tertinggi supaya apabila mereka besar nanti, mereka akan melihat rasuah sebagai suatu amalan yang amat jijik dan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.

“Pendidikan anti-rasuah ini tidak perlu dilaksanakan secara formal, tetapi boleh dilaksanakan melalui segmen-segmen tertentu di dalam subjek-subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Malah, ia juga boleh diselitkan di dalam subjek-subjek lain seperti mata pelajaran Bahasa dan Pendidikan Seni.

“Selain itu, Parti Bangsa Malaysia turut menghargai usaha badan-badan bukan kerajaan seperti Rasuah Busters dan pertubuhan-pertubuhan anti-rasuah lain yang dilihat amat komited dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Malaysia.

“Untuk membanteras kejahatan gejala rasuah ini, kita semua perlu bergabung tenaga untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berintegriti tinggi di masa hadapan, yang disanjungi di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat