KUALA LUMPUR – Bantahan Umno kepada PKR ekoran desas-desus penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti tersebut hanyalah satu ‘drama bersiri’ sahaja, dakwa Pas.
Menurut Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, Umno tidak boleh terlalu kuat menentang kerana akan menjejaskan hubungan ‘cikgu-murid’.
“Saya yakin sebenarnya bantahan Umno kepada PKR ekoran desas-desus penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti tersebut hanyalah satu ‘drama bersiri’ sahaja.
“Ini kerana UMNO pun tahu PKR ialah parti yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, jadi nak lawan pun tak boleh kuat sangat nanti menjejaskan hubungan cikgu-murid,” dakwa beliau dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Untuk rekod, ketika PKR sebagai pembangkang pun pada tahun 2021 berlaku kes yang sama iaitu PKR ‘curi’ ahli dari parti Amanah. Ia berlaku apabila tiga Adun Amanah di Johor menyertai PKR. Tiga Adun berkenaan adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota),” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Ujarnya, tahun sebelumnya, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut meninggalkan parti AMANAH dan menyertai PKR.
“Marah parti itu hingga ada yang mencadangkan kaji semula hubungan dengan PKR. Itu ketika jadi pembangkang sudah ada rekod ambil ahli kawan, sekarang dah jadi kerajaan, tentu lebih tinggi nilainya.
“Itu belum mengambil kira kes bekas timbalan menteri di Perlis baru-baru ini yang asalnya daripada Umni kemudian umum nak masuk Amanah akhirnya isytihar masuk PKR.
“Jadi, rakyat jangan terpedaya. Mereka sudah bincang elok-elok belakang tabir. Keutuhan parti bagi mereka hanyalah mainan mulut sahaja. Isunya, beras kita, keluarga kita, kita yang kena biayai kosnya,” tempelak Fadhli lagi.