Juruteknik bangunan JKR dituduh terima suapan

- Advertisement -

SEREMBAN: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 antara Februari hingga Mei 2013.

Tertuduh, Abdul Halim Abdullah, 44, tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Abdul Halim yang bertugas sebagai Juruteknik Bangunan didakwa menerima suapan wang tunai secara berperingkat, menerusi akaun atas namanya dengan empat kali bayaran berjumlah RM5,000, daripada Abu Azman Yaacob, 51, iaitu pemilik Qudhrat Engineering Construction.

Suapan itu sebagai upah bagi pemantauan kerja dan menyediakan ringkasan tuntutan interim bulanan untuk syarikat berkenaan, bagi projek pembinaan Dewan Badminton di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau, Negeri Sembilan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kuala Klawang Jelebu, di antara 8 Februari hingga 7 Mei 2013.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Abdul Halim meminta mahkamah menetapkan ikat jamin rendah kerana perlu menanggung keluarga termasuk dua orang anak, selain dia menghadapi masalah kesihatan.

“Saya juga akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak mahkamah bagi perbicaraan kes ini,” katanya.

Madihah kemudian membenarkan Abdul Halim diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 21 Januari depan bagi sebutan semula kes.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat