Sahabat AIM miliki kilang proses 100 produk sejuk beku

- Advertisement -

Segalanya bermula apabila seorang majikan warga Jepun sentiasa memuji masakannya dan mencadangkannya agar berniaga. Cadangan itu akhirnya dijadikan realiti hingga ia yang asalnya hanya berniaga sambilan di pasar malam dan kini memiliki sebuah syarikat yang membekalkan kuih muih sejuk beku ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Pemilik D’Kochet Frozen Food, Khairina Suleiman, 53 tahun kini mampu tersenyum lebar apabila penat lelahnya sejak tahun 2000 membuahkan hasil malah melahirkan kesyukuran dengan rezeki kurniaan Allah SWT yang semakin berkembang.

“Saya bermula tahun 2000 tetapi tidak sepenuh masa, sebab saya masih lagi bekerja. Maksudnya, hari tidak bekerja iaitu Sabtu Ahad saya berniaga di pasar malam. Terkejut tengok jualan laris sangat, bila pasang khemah terus pelanggan datang beratur.

“Masa itu saya memang sudah buat makanan sejuk beku, saya bawa ke pasar malam, goreng di situ…ketika itu saya hanya buat karipap dengan popia. Dari situ saya nampak makanan sejuk beku ini sangat berpotensi dan boleh pergi jauh.

“Lama kelamaan, produk saya makin laris dan saya menerima tempahan dari Hotel Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebanyak 3,000 keping karipap. Itu permulaannya…jadi saya kena buat keputusan..kena ‘full swing’ dan tidak boleh buat dua tiga kerja, kena fokus kepada perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di kilangnya, D’Kochet Frozen Food yang terletak di Seksyen 31, di sini baru- baru ini.

Meskipun mendapat sokongan dari suami dan keluarga untuk meneruskan perniagaan itu secara sepenuh masa, namun ada pihak yang sangsi dan mentertawakan Khairina kerana berniaga makanan sejuk beku yang kurang diminati ramai ketika itu.

“Pada awal saya berniaga, orang tertawakan saya malah ada yang cakap, pelanggan hendak makan yang siap goreng dan boleh beli terus di gerai tepi jalan bukan makanan sejuk beku.

“Saya tidak patah semangat sebab ketika itu saya sudah nampak bahawa suatu hari nanti, kesibukan menyebabkan tidak semua individu sempat keluar membeli atau buat sendiri..mereka pasti mahu ada stok sedia (ready stock) di rumah, bila hendak makan atau tetamu datang, terus goreng dan hidang,” katanya.

Khairina berkata, perniagaan yang diusahakan itu bukan semata-mata kerana keuntungan dan wang ringgit, sebaliknya dia melihat dari sudut Islam di mana adalah fardu kifayah menyediakan makanan untuk orang Islam.

“Saya niat hendak serius dalam perniagaan ini juga kerana saya sendiri sukar mendapatkan produk sejuk beku bumiputera dan orang Islam, jadi saya mahu orang Islam makan hasil air tangan orang Islam sendiri.

“Alhamdulillah, hari ini impian saya terlaksana. Kini terdapat kira-kira 100 jenis produk sejuk beku seperti karipap, cucur badak, kasturi, onde-onde, popia, samosa, roti canai yang boleh dibeli pada harga di antara RM6.50 hingga RM16 bergantung kepada jenis produk dan jumlah setiap paket.

“Di dalam setiap paket terdapat di antara 10 hingga 12 keping bergantung kepada saiz produk berkenaan dan boleh dibeli secara atas talian menerusi https://www.dkochet.com, Shoppee atau agen serta kedai te rpilih,” katanya.

Lebih manis lagi katanya, dengan bantuan kewangan yang diperolehi dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), perniagaan yang dibangunkan itu membuka peluang kerja kepada penduduk setempat yang kesemua warga tempatan.

“Masa mula-mula dulu, saya niat hendak adakan peluang pekerjaan untuk warga tempatan membantu ekonomi keluarga terutamanya ibu tunggal serta isteri yang ingin bekerja tidak dapat kerja jauh dari rumah disebabkan kekangan tertentu.

“Sebab itu pekerja di kilang saya adalah penduduk sekitar. Sehingga kini, saya mempunyai 20 pekerja tetap dan enam separuh masa. Semua pekerja saya boleh buat semua jenis kuih kerana kita beri latihan sama agar dapat menampung permintaan,” katanya.

Dengan bantuan 20 pekerja katanya, setiap hari D’Kochet Frozen Food dapat menghasilkan tujuh hingga lapan jenis produk bergantung kepada permintaan di mana kira-kira 3,000 hingga 4,000 keping sehari bagi setiap jenis kuih.

“Produk sejuk beku D’Kochet boleh kekal bertahan setahun jika diletakkan di dalam bahagian pembeku. Kelebihan kita juga, ada ‘Customer Satisfaction Guarantee’, wang dikembalikan jika pelanggan tidak berpuas hati.

“Berdasarkan penilaian pelanggan dari laman sesawang dan Shoppee, kebanyakan pelanggan suka sebab pertama rasanya, kedua banyak pilihan, kemudian inti banyak melimpah sampai ada pelanggan komplen, inti terlalu banyak (pelanggan gembira, puas hati).
“Alhamdulillah, harga mampu beli dan antara termurah di pasaran. Harga mampu beli ini kerana saya mahu produk saya mencapai sasaran maksudnya semua golongan dapat merasa dan membelinya,” katanya.

Namun dia tidak menafikan setiap perniagaan, pasti akan ada cabaran yang perlu dihadapi dan cabaran itu menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan dan menambahbaik perniagaan selari dengan peredaran zaman.

“Antara cabarannya, permintaan terlalu tinggi sehingga menyebabkan kami bimbang tidak dapat memenuhinya. Begitu juga harga bahan mentah terutamanya bahan mentah yang bergantung kepada cuaca atau musim tertentu seperti keledek dan ubi. Ini menyebabkan saya terpaksa menaikkan harga produk namun kadar kenaikian sekitar 10 sen hingga 30 sen, dan dalam tempoh tiga tahun baru ada kenaikan,” katanya.

Pada masa sama, Khairina merakamkan penghargaan terima kasih kepada AIM yang sentiasa menyokong perniagaannya dari bertatih sehingga kini dapat berlari pantas melalui bantuan kewangan yang mudah dan cepat.

“Alhamdulillah, sejak dibantu AIM kira-kira 10 tahun lalu, dari kedai kecil dan kini ada sebuah kilang dan menghasilkan 100 produk sejuk beku, antara ‘top selling’ saya..karipap popia donut pulut panggang.

“Dari bantuan AIM juga, produk saya dapat dipasarkan ke seluruh semenanjung Malaysia dan Singapura,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat