73 Peratus PerantiSiswa Sudah Diedar Di Seluruh Negara – PM

- Advertisement -

MENGKARAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan secara keseluruhannya, lebih 252,000 atau 73 peratus tablet telah diedarkan di seluruh negara dalam masa lebih kurang dua bulan.

Jelas beliau, lebih 470,000 permohonan telah diterima dan hampir 350,000 permohonan telah diluluskan dan permohonan yang tidak layak kini dalam proses pertimbangan rayuan.

Ismail Sabri berkata, Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan sebuah inisiatif khusus bagi menyediakan sebuah tablet kepada mahasiswa daripada keluarga B40 untuk membantu mereka dalam era pembelajaran secara digital.

“Bagi Negeri Pahang, sejumlah 19,806 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah tersebut, sejumlah 12,900 atau 65 peratus tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak di Negeri Pahang.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyasarkan untuk menyelesaikan pengagihan baki permohonan yang telah lulus pada hujung bulan ini.

“Sesi agihan ini melibatkan tiga buah sekolah tingkatan enam di Bera iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Sekolah Menengah Kebangsaan Triang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (FELDA) Purun,” ucap Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ismail Sabri menambah, penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Universiti Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Komuniti, Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Kolej Asasi, Sekolah-sekolah Tingkatan Enam dan sebagainya.

“Di bawah Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM450 juta untuk inisiatif PerantiSiswa dan kini dalam fasa pengagihan kepada semua mahasiswa yang layak.

“Kerajaan tidak berkompromi dari segi kualiti tablet yang diberikan dengan sebuah tablet yang berjenama, berkualiti tinggi, mempunyai spesifikasi yang terkini dan disertakan dengan jaminan waranti daripada pengilang,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar juga berpesan kepada penerima-penerima PerantiSiswa supaya tidak menjual gajet berkenaan kerana ia adalah untuk kegunaan pelajaran mereka.

Annuar mewakili Perdana Menteri menyampaikan PerantiSiswa berkenaan kepada penerima layak di Bera petang tadi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat