Pembukaan MRT Fasa 1 Laluan Putrajaya Ditangguhkan Ke 2022 – MRT Corp

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang sepatutnya mula beroperasi pada bulan ini terpaksa ditangguhkan ke 2022.

Ini meskipun operasi percubaan untuk MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu telah berjalan sejak 29 April lalu dengan sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh tetapi tanpa penumpang dalam simulasi operasi sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, keputusan itu dibuat selepas ujian masih belum lengkap, sebaliknya laluan itu dijangka bersedia untuk perkhidmatan berbayar pada suku kedua 2022.

Setakat ini, katanya, tren MRT telah mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan telah mengumpul banyak data.

“Selepas meneliti sendiri data tersebut, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi dengan lebih lanjut.

“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil sebelum kami dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya telah menjalankan banyak operasi percubaan, termasuk pemeriksaan terperinci akhir, namun perlu penambahbaikan subsistem untuk menyelesaikan isu data tertiari, bagi memastikan perkhidmatan boleh beroperasi dalam keadaan yang baik.

“Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Justeru, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu daripada kontraktor serah kunci yang dilantik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai projek Laluan Lingkaran MRT3, Mohd Zarif berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan namun menjangkakan bahawa tender projek akan dibuka pada suku ketiga 2022.

“Kami sedang memuktamadkan pelan pembiayaan dengan kerajaan. Beri kami lebih masa untuk memuktamadkan pelan pembiayaan tersebut dan kami berharap dapat memaklumkan kepada anda semula pada awal tahun depan,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat