Pelaburan Koridor Utara lepasi sasaran, bakal cipta 23,000 peluang kerja – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Strategi yang diguna pakai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan pelan tindakan menangani pemulihan pasca pandemik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 telah membuahkan hasil dengan pelaburan besar sebanyak RM21.41 bilion, peningkatan 34 peratus daripada sasaran awal sebanyak RM16 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor pembuatan kekal sebagai aktiviti utama dalam NCER, menyumbang sebanyak 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu meningkat sebanyak 304 peratus daripada RM11.8 bilion pada separuh kedua 2020 kepada RM47.91 bilion pada separuh pertama tahun 2021, menandakan pemulihan jangka panjang.

” Pemulihan dalam permintaan global membawa pertumbuhan perdagangan luar NCER sebanyak 13.1 peratus tahun ke tahun, merekodkan sebanyak RM191.7 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dengan jumlah sebanyak 35.1 peratus daripada keseluruhan nilai perdagangan luar Malaysia.

” Pendekatan serampang tiga mata NCER yang memperkasakan kumpulan mudah terjejas melalui program modal insan yang berpaksikan rakyat, memangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang seimbang melalui infrastruktur strategik dan memacu pelaburan swasta untuk menangani ketidakseimbangan serantau,” kata Perdana Menteri pada Selasa.

Pendekatan ini kata Ismail Sabri akan turut membolehkan NCER mencapai ekonomi bernilai RM300 bilion; purata pendapatan isi rumah mencapai RM10,508; 161,197 penciptaan pekerjaan terkumpul dan RM146.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.

Di samping itu ujar beliau, pelaburan ke wilayah ini akan mewujudkan sejumlah 23,506 pekerjaan di NCER. Selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’, lebih 65,000 peserta termasuk wanita, belia dan masyarakat Orang Asli telah menerima manfaat daripada pelbagai program modal insan berpaksikan rakyat dalam mengatasi cabaran pandemik.

” Program-program ini akan diteruskan sepanjang RMKe-12, selaras dengan matlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. Lebih 12,000 isi rumah miskin dan miskin tegar yang disenaraikan di bawah pangkalan data e-Kasih dan iDamak telah mendapat manfaat daripada program Kasih Ibu NCER di Kedah, Perak dan Perlis melalui bantuan dalam pembelian keperluan asas dan penjagaan kesihatan, bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.

” Sehingga kini, hampir 600 daripada penerima telah diintegrasikan ke dalam program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dan mereka kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri.

” Berikutan kejayaan inisiatif ini, lebih 5,000 peserta akan disepadukan ke dalam program ini dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar RMK12 menjelang 2025,” katanya.

Beliau juga menambah, program empowerNCER-Kemahiran dan Keusahawanan dan JomNiaga@NCER akan mewujudkan hampir 10,000 usahawan mikro dan pekerja mahir dalam kalangan kumpulan B40.

” Pada masa ini, lebih 900 peserta telah keluar daripada kemiskinan, di mana 300 peserta telah beralih ke dalam kategori M40 dan T20.

” Lebih 5,000 penggerak ekonomi tempatan ini bukan sahaja berjaya menjana pendapatan kira-kira RM45 juta secara kolektif dalam tempoh 6 bulan, tetapi juga mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan untuk masyarakat setempat.

” Program ini juga telah membantu lebih 5,200 perusahaan mikro dan PKS yang mana pembiayaan RM85.9 juta telah diluluskan oleh Maybank dan AgroBank, menghasilkan Sifar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) setakat ini,” kata Perdana Menteri.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat