Presiden Peru Undur Diri Selepas 5 Hari Sandang Jawatan

- Advertisement -

LIMA: Presiden Peru, Manuel Merino, semalam meletakkan jawatan selepas baru lima hari memegang jawatan itu, susulan insiden bantahan di jalanan terhadap beliau serta penyingkiran penyandang sebelum ini.

Merino, 59, mengundurkan diri sejurus sidang Kongres meminta beliau berbuat demikian sebelum jam 6 petang (waktu tempatan) atau terus berdepan tekanan kecaman.

“Saya ingin memberitahu seluruh negara bahawa saya meletakkan jawatan,” kata Merino.

Beliau berkata demikian dalam ucapan disiarkan melalui televisyen, sehari selepas tindakan keras polis terhadap penunjuk perasaan didakwa menyebabkan sekurang-kurang dua orang meninggal dunia.

Kongres dijangka melantik Presiden baharu – ketiga di negara Amerika Selatan ini dalam tempoh seminggu – pada sesi persidangan baharu.

Ribuan orang mengadakan tunjuk perasaan di jalanan selama berhari-hari bagi membantah pelantikan Merino selepas Presiden terdahulu, Martin Vizcarra, disingkirkan atas dakwaan rasuah pada Isnin lalu.

Pilihan raya dijadualkan berlangsung pada April tahun depan, manakala Merino pula dijadualkan menyandang jawatan itu hingga tempoh mandat Vizcarra berakhir pada Julai.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Peru memaklumkan bahawa dua penunjuk perasaan maut, kelmarin, ketika menyertai perarakan besar-besaran dan aman di Lima yang menyaksikan polis didakwa bertindak melepaskan tembakan peluru senapang serta gas pemedih mata.

Bagi mengelakkan ‘vakum kuasa’, Merino berkata, 18 menteri yang dilantik ketika beliau mengangkat sumpah pada Khamis lalu, akan terus berkhidmat untuk sementara waktu, walaupun hampir semuanya telah meletak jawatan berikutan insiden kelmarin. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat