KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Wanita Keadilan Juwairiya Zulkifli menegaskan, adalah tidak adil untuk menyalahkan sosok seorang Menteri Pendidikan untuk semua musibah mahupun kejadian malang yang berlaku dalam premis sekolah.
Justeru beliau mengingatkan, musibah dan kemalangan boleh berlaku di mana jua.
“Apa yang berlaku kebelakangan ini di sekolah-sekolah amat membimbangkan kita selaku ibu bapa dan masyarakat amnya. Namun, tidak adil untuk menyalahkan sosok seorang Menteri untuk semua musibah mahupun kejadian malang yang berlaku dalam premis sekolah.
“Ya, tugas Menteri adalah untuk merangka dasar, polisi dan undang-undang berkaitan bagi semua perkara dibawah bidangkuasanya. Namun, musibah dan kemalangan boleh berlaku dimana jua.
“Adakah musibah dan kemalangan juga salah Menteri? Salah guru? Salah ibu bapa? Cuba kita fikir sejenak dengan tenang dan rasional, bukan beremosi.
“Namun, apa yang berlaku khususnya kejadian tragis yang menimpa adik perempuan kita di sebuah sekolah di Petaling Jaya adalah amat mengejutkan dan amat menyedihkan sekali,” katanya.
Menurut Juwairiya, tidak terjangkau pemikiran kita di zaman serba canggih dan semakin moden ini, ada kalangan anak-anak pelajar yang terpengaruh dengan dunia maya atau fantasi ganas dalam permainan dan terbawa-bawa ke dunia realiti.
“Sidang media Ketua Polis Selangor telah mengesahkan bahawa : tiada unsur buli, tiada unsur dadah, tiada rekod disiplin dan tiada rekod isu kesihatan mental.
“Oleh itu, banyak faktor yang mungkin mendorong kejadian malang ini berlaku- pengaruh media sosial dan ‘games’- kita berada dalam zaman telefon pintar menjadi keperluan. Kanak-kanak juga para ibu bapa sediakan bagi tujuan komunikasi dan keselamatan keberadaan anak-anak. Namun adakah para ibu bapa memantau penggunaan telefon pintar tersebut sepanjang masa? Apakah akaun media sosial mereka? Apakah ‘games’ yang mereka minati? Adakah ‘games’ tersebut selamat untuk pengguna di bawah umur? Peranan ibu bapa untuk memantau hal ini dan akta komunikasi multimedia harus diperketatkan.
“Kesihatan mental – isu kesihatan mental sering diperkatakan hari ini, kerana dunia semakin mencabar dan kadang kala kita tidak mampu menguruskan tekanan tersebut dengan baik dan kita juga mungkin terlepas pandang bahawa kanak-kanak pelajar juga punya tekanan tersendiri apabila mereka sedang menginjak dewasa. Remaja yang sedang mencari-cari identiti diri, sedang mencari kawan-kawan sebaya, bertungkus lumus memenuhi harapan guru dan ibu bapa untuk cemerlang, malah ditambah tekanan diri apabila berdepan dunia maya dan media sosial. Maka dalam kes ini, sewajarnya dilihat latar belakang suspek dalam aspek psikososial dan kesihatan mentalnya jua agar faktor yang mendorong tindakan bunuh tersebut dapat diketahui.
“Latar belakang keluarga dan persekitaran -umum tidak mengetahui apakah yang dilalui suspek dirumah, disekeliling sejak kecil hingga ke alam sekolah kini. Kita tidak tahu bagaimanakah didikan atau pembawakan keluarganya yang mungkin membuatkan suspek mengalami tekanan atau kemurungan atau tidak bersosial?
“Saya percaya banyak yang suspek pendam sehingga tindakan kejam ini berlaku. Kita sebagai masyarakat juga jangan pantas untuk menyalahkan sesiapa, kerana sudah pasti tiada ibu bapa yang ‘mengajar’ anak-anak mereka untuk menjadi penjenayah atau berlaku zalim terhadap orang lain,” katanya.
Justeru beliau menggesa supaya pihak berkuasa memberikan ruang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Namun, dasar-dasar berkaitan keselamatan kanak-kanak, pelajar di sekolah serta akta multimedia dan komunikasi juga harus diperketatkan dan dipinda bagi menjamin masa depan anak-anak kita dalam persekitaran selamat, positif dan sejahtera.
“Doa semoga anak-anak kita semua selamat walau dimana jua mereka berada,” ujar Juwairiya.



