KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk segera menjalankan siasatan dalaman dan mengambil hukuman tegas buang sekolah ke atas sesiapa sahaja yang bersalah membabitkan empat remaja lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rogol beramai-ramai ke atas seorang pelajar perempuan di Baling.
“Sewaktu saya sedang menjawab dalam sesi khas Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pagi tadi, negara dikejutkan lagi dengan pelaporan media mengenai kes rogol melibatkan beberapa orang murid di negeri Kedah.
“Semua suspek telah ditahan reman untuk membantu siasatan pihak polis. Saya minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk segera menjalankan siasatan dalaman dan mengambil hukuman tegas buang sekolah ke atas sesiapa sahaja yang bersalah.
“Saya berkongsi rasa dengan seluruh rakyat – marah, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Semua kejadian yang berlaku bukan kebetulan.
“Betapa kita sedang berhadapan dengan kebejatan sosial yang kian meruncing. Ia menuntut kita untuk bersama-sama berusaha menangani masalah ini demi masa hadapan anak-anak kita,” kata Fadhlina.
Susulan itu menurut belaiu, perhatian utama kami pada ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberi bantuan terbaik dalam menempuh situasi sukar ini.
“Aspek kesejahteraan mangsa diberi sepenuh perhatian,” ujarnya.
Sebelum itu media melaporkan, polis menahan empat remaja lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rogol beramai-ramai ke atas seorang pelajar perempuan.
Tiga daripadanya merupakan pelajar lelaki sebuah sekolah di daerah ini sementara seorang lagi bekas pelajar sekolah sama.
Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam mereka dan disebarkan ke media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, bapa mangsa telah membuat laporan pada Ahad lalu selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video anaknya berbogel.
“Polis telah menyiasat dan membuat tangkapan ke atas tiga pelajar sekolah berkenaan serta seorang lagi bekas pelajar sekolah sama, ditahan pada jam 9.30 malam Ahad lalu.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi di dalam kelas di sekolah berkenaan.
“Semua suspek direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan polis telah merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” lapor Astro Awani pada Khamis.
Ahmad Salimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.



