Sembilan UMNO Bahagian Sokong Ismail Sabri PM Ke-10

- Advertisement -

CYBERJAYA: Sekurang-kurangnya sembilan UMNO Bahagian mengetengahkan usul untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-10 seandainya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi Kedah, UMNO bahagian Padang Terap meluluskan usul tersebut tanpa berbelah bahagi menyokong Ismail untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Menurut Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain menyokong Ismail, mereka juga meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.

“Alhamdulillah, UMNO Padang Terap mencapai kata sepakat itu, dengan ketetapan tersebut yang menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan,” kata Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO.

Di Johor, Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usul tersebut adalah salah satu daripada tiga yang diputuskan pada Mesyuarat UMNO Bahagian di Dewan UMNO Pontian pada Sabtu yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“UMNO Pontian bersetuju mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15 nanti.

“Jaminan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah lebih sesuai dan tepat berbanding hanya sebagai poster boy BN,” katanya.

Pada 18 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail kekal sebagai calon Perdana Menteri BN pada PRU-15.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO dan BN Johor berkata, dua lagi usul yang dikemukakan UMNO Bahagian Pontian ialah menyokong siapa jua calon diputuskan pucuk pimpinan dan solidariti ahli parti.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, beliau mengesahkan bahagian tersebut mahukan Ismail kekal memimpin negara.

“Sokongan itu diputuskan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Jelebu yang diadakan di Kompleks UMNO Jelebu tengah hari tadi (Sabtu).

“Keputusan memilih Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKT yang sudah membuat keputusan sebelum ini.

“Ini keputusan parti yang kemudian disambut oleh akar umbi dalam kita membuat satu kemuafakatan demi kebaikan UMNO bagi menghadapi PRU kali ini,” kata Ahli MKT UMNO itu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman pula berkata, usul nama Ismail sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah sejajar dengan keputusan MKT parti itu sebelum ini.

Jelasnya, keputusan itu dipersetujui kira-kira 640 perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, kepemimpinan UMNO bahagian sepakat untuk menyokong keputusan MKT sebagai langkah untuk memastikan perpaduan parti sentiasa terpelihara.

“Kami juga mengemukakan usul menyokong siapa sahaja calon yang dinamakan oleh pucuk kepemimpinan BN di kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU-15.

“Yang penting UMNO Alor Gajah memastikan BN kembali merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lalu,” katanya.

Di Kelantan, UMNO Bahagian Ketereh tetap mahukan Ismail memegang jawatan Perdana Menteri ke-10.

Sokongan itu adalah salah satu daripada lima usul MKT yang dipersetujui pada Mesyuarat UMNO Bahagian tersebut.

Bahagian berkenaan juga menyokong usaha kerajaan pimpinan Ismail yang mengutamakan usaha transformasi kerajaan, khususnya transformasi Parlimen, peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi negara, menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat, membela nasib rakyat serta mengekalkan keamanan dan perpaduan Keluarga Malaysia.

Empat lagi UMNO Bahagian menyatakan usul serupa mengekalkan Ismail sebagai Perdana Menteri ke-10 iaitu Machang (Kelantan), Tenggara, Parit Sulong serta Tebrau dari Johor.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat