PUTATAN – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar kempen Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal yang cuba melabel parti Malaya dan parti Sabah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengingatkan Shafie agar berhenti memecah belahkan orang Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan Sarawak kerana semua adalah rakyat Malaysia.
“Jangan main isu Sabah untuk Sabahan, Sarawak untuk Sarawakian. Mana ada parti Malaya, mana ada parti Sabah, kita adalah rakyat Malaysia.
“Kitalah rakyat Malaysia, jangan pecahkan orang Semenanjung dengan orang Sabah dan Sarawak, kita adalah rakyat Malaysia di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung,” kata Ahmad Zahid pada majlis ramah mesra pemimpin bersama pengundi bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Putatan, malam tadi.
Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan Shafie sebagai kacang lupakan kulit dan habis madu sepah dibuang apabila memburukkan imej UMNO di mata rakyat Sabah dengan mendakwa kononnya parti Malaya menjarah hasil negeri Sabah.
“DAP parti Sabah? PKR parti mana? Amanah parti mana? Bagaimana itu? Jangan undi Warisan.
“Oh kononnya parti Malaya ini mahu merampas harta orang Sabah, kononnya kerajaan pusat mengambil hasil Sabah, tapi lihatlah sewaktu BN memerintah pertumbuhan ekonomi Sabah pada 2017 pada kadar 8.2 peratus bila dia (Shafie) ambil alih terus turun kepada 1.5 peratus manakala pada tahun 2019, terus menurun kepada 0.5 peratus, ini kemajuan atau penurunan? Kerana agenda beliau bukan untuk menolong rakyat Sabah tapi untuk menjahanamkan negeri Sabah.
“Siapa kata mahu curi? Kata Shafie kerajaan BN tidak memberikan kepedulian kepada rakyat Sabah, tujuh orang menteri penuh dari Sabah dan enam dari Sarawak, ini memperlihatkan bahawa sewaktu BN menjadi kerajaan pusat ada 13 wakil rakyat ertinya BN peduli nasib Borneo.
“Tidak betul semua hasil dari negeri Sabah dan Sarawak diambil oleh BN. Sebab yang terbaik adalah UMNO dan BN yang memperjuangkan nasib rakyat,” jelasnya.