Mansuh AUKU akan beri lebih ruang demokrasi kepada golongan pelajar universiti – Hassan Karim

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kemudian digantikan dengan akta baharu akan buka lebih banyak ruang demokrasi dalam kalangan pelajar pengajian tingi.

Ahli Parlimen Pasir Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat oleh beliau satu langkah positif.

Dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka, Anwar mengumumkan kerajaan akan mansuhkan AUKU.

“Mengapa AUKU hendak dimansuhkan? Banyak sebabnya, tetapi satu daripadanya adalah sebab politik kerana Anwar menyedari bahawa sokongan generasi muda pengundi berumur 18 tahun hingga 25 tahun terhadap PKR amat rendah.

“Alasan lain ialah mungkin Anwar yang rajin membaca buku sejarah menyedari sebuah parti politik yang tidak mendapat sokongan orang muda akan merosot dan akhirnya parti itu hidup segan mati tak mahu,” katanya.

Menurut beliau, tempoh politik Anwar sebelum ini pada 10 tahun pertama banyak dihabiskan dalam penjara dan beliau sedar golongan muda yang banyak membangunkan parti itu.

Katanya, golongan berkenaan yang gigih mengibarkan idea dan panji-panji perjuangan reformasi sehingga PKR tersebar ke seluruh negara.

Dakwanya, hanya PKR satu-satunya parti politik yang mempunyai cabang di seluruh 222 kawasan Parlimen, di seluruh negara iaitu di semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR kini sedar, tidak ada lagi sekarang ini tokoh pemuda dan srikandi yang ada semangat perjuangan reformasi seperti satu masa dulu.

“Tiada lagi pahlawan-pahlawan muda satu waktu dulu seperti Ezam Mohd Noor, Tian Chuah, Lokman Noor Adam, Rafizi Ramli, Nik Nazmi dan Latifah Koya, sekadar menyebut beberapa nama.

“Mereka yang namanya disebut di sini, yang berani, bijak dan bersedia berkorban untuk perjuangan, semuanya sudah meninggalkan perjuangan Keadilan manakala Nurul Izzah, `puteri reformasi’ yang menang dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR memilih untuk mengundurkan diri,” katanya.

Justeru beliau berpendapat, pengumuman memansuhkan akta tersebut dalam kongres tersebut adalah tepat.

“Sekali lagi Anwar yang minat membaca buku sejarah dan falsafah menginsafi bahawa jika di tanah besar China terdapat gerakan orang muda yang dipanggil Gerakan 4 Mei, manakala di Indonesia wujud Sumpah Pemuda Indonesia dan di Semenanjung Tanah Melayu pula wujud Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam.

“Jadi dalam konteks inilah maka keputusan Anwar selaku Presiden PKR untuk memansuhkan AUKU itu perlu diberi sokongan terutama dari kalangan generasi muda,” ujarnya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat