SEREMBAN, 16 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa kepimpinan DAP perlu menasihati barisan Pemuda mereka (DAPSY) agar kembali berfikir secara waras dan tidak bertindak melulu dalam isu-isu yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, tindakan politik yang keterlaluan boleh mengundang provokasi, sekali gus menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
“Saya harap DAP nasihatkan DAPSY supaya kembali berfikir secara waras. Kalau tidak, nanti akan ada perkara yang boleh mengeruhkan usaha kita mengurus negara bersama,” katanya memetik Sinar Harian.
Tok Mat berkata demikian ketika mengulas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang yang membawa kepada perarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, di Kepala Batas baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang tidak boleh hanya dikenakan kepada seorang pemimpin politik semata-mata, sebaliknya semua pihak yang terbabit perlu dikenakan tindakan secara adil tanpa pilih kasih.
“Undang-undang sudah jelas. Jika ada pihak yang memasang bendera secara salah, tindakan wajar diambil. Tidak boleh hanya satu pihak dikenakan tindakan, sedangkan yang lain dibiarkan,” ujarnya.
Tok Mat turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang mempermainkan simbol negara boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan membuka ruang kepada ketegangan kaum.
“Malaysia ini negara berbilang bangsa, agama dan budaya. Kita perlu sangat berhati-hati. Kalau di negara satu bangsa pun boleh berlaku perang saudara, bayangkan di Malaysia yang masyarakatnya sangat rencam,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik dalam usaha menarik pelaburan serta menjamin masa depan ekonomi negara. Menurutnya, pengalaman selepas Pilihan Raya Umum ke-14 membuktikan ketidaktentuan politik boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.
“Kita tidak mahu perkara kecil menjadi kudis yang akhirnya merosakkan negara. Apa sahaja yang baik untuk negara mesti dilakukan secara bersama,” katanya lagi.



