Jenazah Anak Sulung Harussani Selamat Disemadikan Berdekatan Kubur Bapa

- Advertisement -

IPOH – Anak sulung bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, A Abdul Hakim Mazhar Harussani, 54, yang meninggal dunia awal pagi tadi akibat Covid-19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat, tengah hari tadi.

Adik bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi Harussani, 44, berkata, jenazah selamat dikebumikan kira-kira 12 tengah hari dengan urusan pengkebumian dikendalikan sepenuhnya oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dengan beberapa waris hanya dibenarkan memerhati dari jauh.

Ahmad Wafi berkata, Allahyarham abang sulungnya itu disemadikan hampir dengan kubur bapa mereka yang meninggal dunia akhir Mei lalu juga selepas dijangkiti virus Covid-19.

Katanya, arwah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada petang kelmarin selepas paras kandungan oksigen dalam badannya rendah akibat disahkan positif Covid-19.

“Arwah sebelumnya menghidap kegagalan buah pinggang dan menjalani dialisis sejak hampir dua tahun lalu yang turut memberi impak kepada paru-paru serta jantungnya.

“Pada hari dihantar ke HRPB, paras kandungan oksigen dalam badannya tidak menunjukkan banyak peningkatan biarpun diberikan bantuan alat pernafasan.

“Malam tadi perkembangan kesihatannya semakin merosot. Bagaimanapun arwah tidak sempat menjalani prosedur ditidurkan memandangkan rancangan asal adalah dia hanya akan ditidurkan selepas keadaan jantungnya menunjukkan perkembangan baik,” katanya dihubungi NSTP petang ini.

Ahmad Wafi berkata, arwah abangnya itu tidak bekerja sejak 10 tahun lalu berikutan menghidapi angin ahmar buat kali kedua.

A Abdul Hakim Mazhar meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi meninggalkan empat anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun.

30 Mei lalu, Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat Covid-19 yang ketika itu turut menjangkiti isteri kepada Harussani, Puan Seri Ainon Abdul Ghani. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat