Bukan sekadar Darth Vader, Batman Pun Ada! Cetusan unik Tintoy Chuo terus hidupkan seni Wayang Kulit

KUALA LUMPUR – Seni persembahan wayang kulit yang terkenal di negeri Kelantan kini semakin dilupakan dan ditelan peredaran masa yang semakin moden.

Bagaimanapun, bagi seorang lelaki berbangsa Cina berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Wayang Kulit adalah cabang seni yang digemarinya sehingga beliau terlibat begitu rapat dengan seni persembahan unik itu.

Pengasas Wayang Kulit Fusion Tintoy Chuo berkata pemulaan kisah beliau menyukai wayang kulit boleh dianggap ibarat satu kebetulan apabila beliau dijemput untuk menyertai satu pameran kesenian pada tahun 2012 yang dikendalikan oleh rakannya.

“Kawan saya meminta saya menghasilkan satu projek baharu untuk pameran itu dan pada ketika itu saya amat teruja untuk mencari subjek seni yang menarik dan unik.

“Pada tahun 2008, saya pernah melukis secara kasar idea seni wayang kulit digabung dengan elemen baharu iaitu wayang kulit tetapi diambil dari filem Star Wars sehingga saya merasakan ia amat sesuai untuk pameran berkenaan dan saya namakan ia Peperangan Bintang,” katanya kepada Suara TV hari ini.

Bagi Chuo, permulaan mengenali seni yang unik perlu rujukan orang yang pakar dalam sesuatu khazanah seni itu.

Tok Dalang Dari Kelantan Sebagai Pakar Rujuk

Oleh itu, beliau mencari seorang Tok Dalang dari Kelantan untuk menjadi rujukan penting setiap aspek dalam pembuatan wayang kulit, ciri-ciri watak serta nyawa persembahan wayang kulit supaya apa yang beliau lakukan tidak menyimpang dari nilai asal wayang kulit.

“Ketika pameran seni itu berlangsung, ada kawan kepada seorang Tok Dalang mengetahui tentang pameran itu dan memaklumkan kepada Tok Dalang itu tentang kami dan Tok Dalang itu datang dari Kelantan dengan minat untuk melihat lebih dekat lagi karya yang kami hasilkan.

“Beliau datang dan bertemu saya pada September 2012 dan saya jelaskan konsep serta tujuan saya menghasilkan perkara sebegini sehingga sekarang kami sudah menjadi kawan,” katanya.

Beliau menjalinkan kerjasama dengan Tok Dalang Muhammad Dain Othman sebagai pakara rujuk serta mereka bersama-sama kemudian dalam perjalanan Chuo dalam khazanah seni Wayang Kulit.

“Ketika pameran pada 2012 yang diadakan di Publika, saya menghasilkan 2 watak Wayang Kulit yang diadaptasi dari filem Star Wars iaitu Darth Vader dan Luke Skywalker untuk dipamerkan pada pameran berkenaan, beliau menamakan Darth Vader sebagai Sangkala Vedeh supaya ia ada hubungan rapat dengan nilai tradisi wayang kulit.

“Pada masa itu kami hanya menghasilkan boneka Wayang Kulit berkenaan mengikut acuan berkomputer yang kurang tepat, selepas itu Tok Dalang kemudiannya bekerjasama dengan saya menghasilkan boneka Peperangan Bintang dengan cara tradisional,” ujarnya.

Katanya, sejak itu beliau dapat menghasilkan wayang kulit dengan cara yang betul.

Persembahan Pertama Cerita Peperangan Bintang (Star Wars) Diadakan Di Petaling Jaya

Chuo berkata beliau kemudian bercerita dengan Muhammad Dain tentang impiannya untuk melihat satu persembahan sempurna Wayang Kulit lengkap dengan Tok Dalang serta pemuzik dengan alat muzik tradisional mempersembahkan cerita Peperangan Bintang yang diambil dari filem Star Wars.

“Kita berjaya membuat persembahan pertama di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada Oktober 2013 bersama dengan Tok Dalang Muhammad Dain,” katanya.

Kemudian, beliau turut ada menghasilkan beberapa boneka wayang kulit untuk program khas seperti bersama dengan platform e-dagang Shopee sempena kemerdekaan, wayang kulit untuk program bersama National Geoprahic dan satu video Wayang Kulit pendek untuk promosi filem Venom 3 untuk Sony Pictures pada tahun 2014.

“Saya turut ada menghasilkan satu boneka wayang kulit penyanyi antarabangsa Ed Sheeran yang dihadikan kepadanya,” katanya.

Kini, Chuo mengendalikan sebuah galeri Wayang Kulit Fusion atau moden di Kuala Lumpur di pusat membeli-belah GMBB Mall di Bukit Bintang yang mempamerkan boneka wayang kulit yang sudah dihasilkan oleh beliau termasuk wayang kulit Star Wars Peperangan Bintang.

“Selepas Star Wars saya juga ada menghasilkan watak-watak dengan karya cerita lain iaitu Justice League yang memaparkan watak-watak seperti Batman, Aquaman, Flash dan Green Lantern serta kita ada persembahkan cerita Batman menentang Joker yang dipersembahkan di China,” katanya.

Beliau berkata Wayang Kulit Fusion ada mengadakan bengkel berkaitan Wayang Kulit seperti persembahan, pembuatan boneka serta lawatan ke galeri di GMBB Mall.

“Kita mensasarkan untuk mengadakan bengkel sebulan sekali berkaitan Wayang Kulit,” katanya.

Menurut Chuo, suntikan elemen baharu dan moden tetapi digabungkan dengan cara pembuatan tradisi serta gaya persembahan asal boleh memastikan nilai kesenian ini terus terpeliharan dan tidak hilang ditelan peredaran zaman yang semakin pantas.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat