ZA’BA (1895-1973): Sang Pendeta, Ahli Hikmat dan Guru Bangsa

- Advertisement -
Oleh :
Dr. Saiful Akram Che Cob @ Ab Ghafar

“Dont judge a book by its cover!”.

Sekiranya wacana kefalsafahan moden Barat, yang sering mendorongkan persoalan etika (akhlak) dengan kemurnian nisbah akal budi, seperti yang digagaskan oleh Baruch de Spinoza, melalui karya ‘The Ethics’ (diterbitkan pada tahun 1677), mahupun Immanuel Kant, yang gemilang dengan hukum moral perintah mutlak (the imperative category), yang ditulis pada adikarya ‘The Critique of Practical Reason (diterbitkan pada tahun 1788), Pendeta Za’ba justeru menawarkan praktik dan pelatihan pekerti, mengikut lunas-lunas, yang dimaksudkan daripada inti-inti ajaran agama Islam.

Za’ba kupas kemuliaan pekerti

Seperti yang diwacanakan pada pengantar buku ini, yang ditulis oleh Syed Nasir bin Ismail, pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang saya kekalkan dalam bentuk tulisan asalnya, berbunyi;

“Ada pun buku ‘Asohan Budi’ ini nyata-lah bahawa kandongan-nya sangat bérfaedah dan mustahak di-bacha dan di-àmalkan sérta di-jadikan panduan dan pedoman hidup sa-saorang dan sa-térus-nya bagi kétinggian mutu bangsa kita yang baharu mérdeka. Sunggoh pun sharahan-sharahan yang térkandong di-dalam buku ini télah di-lafazkan dalam tahun 1953 akan tétapi nilai dan panduan yang dapat daripada-nya ada-lah tétap ménasabah dan sa-suai déngan kéadaan dan pérjalanan musharakat kita pada hari ini”.

Memang benar dan wajar, apa yang tertulis di mukadimah pengantar. Buku ini mempunyai 10 Bab (Za’ba menulisnya sebagai bahath), memerihalkan persoalan akhlak, budi pekerti, definisi takdir, etika dan kepentingan menuntut ilmu secara menyeluruh, buat semua pemeluk Islam. Kewajipan peri kemuliaan perangai, seharusnya dimulai oleh seseorang secara peribadi, dari dalam dirinya sendiri. Kemudian diteruskan pada pergaulan-pergaulan dalam masyarakat, dengan adab dan aturan yang benar. Daripada sudut ini, dapatlah kita mengerti dan fahami, buah-buah pemikiran Za’ba, yang secara holistik, menyangkut kepada seluruh susunan hidup.

Za’ba mengupas kemuliaan pekerti menurut acuan Islam, meliputi segala tatanan kehidupan, baik daripada sudut falsafah, kejiwaan, sosial, politik, ekonomi dan barang tentunya, soal-soal keagamaan. Perkara agama, sering diberi mustahak oleh sang pendeta, buat mencapai ketinggian peribadi, yang disandarkan pada nas dan dalil-dalil syarie. Ditulis dalam bahasa yang mudah, lunak dan halus, membuatkan ada sinergi magis serta magnet, buat saya membaca serta mencermati khazanah naskhah, hingga ke hujung-hujung halaman. Kritik-kritik yang tertuang, yang dibahaskan secara ilmiah, berkias dan tegas di beberapa para serta fragmen, menambah asyik, di samping ‘membara’ pula, rasa ingin tahu. Za’ba mengkritik sikap Muslim, yang pada waktu itu, masih lagi tebal berselubung khurafat dan tahyul. Hal yang mengikut hemat beliau, boleh merencatkan perkembangan pengetahuan serta keunggulan akal budi. Perbahasan lanjut dan lebih mendasar pada perkara yang dinyatakan ini, ditulis dengan panjang lebar juga oleh Za’ba, melalui sebuah lagi buku monumental yang berjudul; ‘Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri’. Buku etika progresif, menganjur sikap mandiri dan berbaur revolusioner ini, malah pernah diharamkan penerbitan serta edarannya, pada beberapa ketika. Mujurlah pihak DBP, mengambil inisiatif menerbitkan semula karya besar ini, pada tahun 1981 dan diteruskan cetakannya sehingga ke tahun 2009 dan penerbitannya didatangkan melalui Edisi Khas, yang dicetak dalam tiga versi, yakni Melayu, Inggeris dan Jawi. Lebih menarik, diperkemaskan pula pada rapian, yang bersampul.

‘Asohan Budi Menerusi Islam’ coret asuhan hidup Islam

Berbalik kepada buku Asohan Budi tadi, pada permulaaan ‘bahath’nya, Za’ba mencoretkan peri kemuliaan tingkah laku (Makarim Al-Akhlaq) ke dalam tiga fasal, yang menyulut perihal tingkah laku yang mulia dalam aturan Islam, dalam mengatur hidup dan pemanfaatan di medan akhlak.

Perbahasan panjang pada Bab ke-2, 3 dan 4, menukilkan kewajipan-kewajipan halus dan kasar pada diri sendiri, yang merangkumi sembilan fasal. Fasal ini, antara lainnya mengupas persoalan kewajipan terhadap tubuh badan dan harta benda, juga kewajipan menuntut ilmu, mengenal diri, menjaga maruah, keselamatan dan kawalan terhadap hawa nafsu. Perkara khusus pada bab yang ke-4, Za’ba secara langsung membahaskan hal didikan kepada anak-anak.

Ditulis dalam lima fasal, Za’ba dengan berhikmah, menyalurkan nasihat, menekankan cara didikan ideal kepada para ibu bapa, yang menurut beliau, adalah merupakan ‘guru pertama’ kepada anak-anak.

Lanjutan pembicaraan dapat kita teruskan pada Bab 5, 6 dan 7, yang berkisarkan perkara-perkara integral dalam ajaran jimat cermat, ibadah berpuasa dan beramal, buat mencari keredaan Allah semata-mata. Masing-masing tersusun dan tertulis kemas, dalam 12 fasal. Bahas pada bab 8, 9 dan 10, Za’ba berusaha menarik kesimpulan, yang berkaitan kemolekan akhlak Islami, bagi mencapai ketinggian dunia akhirat (Bulugh Al-‘Ula Fi’l Akhirat Wa’l-ula), kemestian hidup beragama pada manusia, dan yang terakhir, Za’ba menitipkan pelajaran agama pada umat Melayu.

Jadinya, pada bab penutup (bahath ke-10), Zaba menzahirkan kecerdasan fikirannya, buat memasukkan ‘roh’ dan iktikad Islam, pada umat Melayu, baik yang berada di kampung-kampung, di sekolah-sekolah, di kolej Melayu, di kolej orang putih, di bandar-bandar dan juga, di kelab-kelab Melayu.

Tujuannya hanyalah satu, agar cita-cita Melayu yang disyorkan, dapat dilaksanakan dengan sempurna, buat mengangkat idealisme bangsa, dalam acuan dan akidah keagamaan.

Za’ba, pergi meninggalkan kefanaan dunia pada hari Selasa, 23 Oktober 1973, setelah menjalani pembedahan batu karang, yang dideritainya, agak lama. Bersemadilah jasad sang pujangga besar, umat Melayu ini, di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Sesungguhnya, tiada siapa boleh menafikan, bahawa Za’ba, adalah Sang Pendeta dan Ilmuwan Melayu-Islam, yang tiada galang gantinya.

Semoga Allah SWT merahmati rohmu, wahai Guru Bangsa!

— BERNAMA

Dr Saiful Akram bin Che Cob @ Ab Ghafar ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi MARA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat