Memperkasa Peranan NGO Dalam Menghadapi Wabak & Bencana

- Advertisement -

Oleh: YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin

Sebelum menyertai dunia politik, saya telah berkecimpung di dalam pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) secara aktif sama ada dari segi menyuarakan suara rakyat dan juga melaksanakan misi bantuan bencana di dalam dan luar negara. Saya berpendapat, NGO yang terdiri daripada persatuan-persatuan yang ditubuhkan oleh masyarakat ini, merupakan aset yang sangat penting bagi pembangunan komuniti setempat.

Setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam pelbagai NGO dan persatuan, saya merasakan perlunya ada revolusi kepada peranan yang dimainkan oleh NGO pada ketika ini. Sejujurnya, tiada perubahan besar yang dapat kita lihat dari kalangan NGO, kerana dari dahulu hingga kini, kebanyakkan NGO di Malaysia lebih selesa menjadi golongan pendesak dan bersifat reaktif terhadap sesuatu isu.

Peranan untuk mendesak pihak berkuasa dan reaktif terhadap isu-isu tertentu sudah tentu perlu diteruskan, namun organisasi-organisasi bebas ini haruslah mempertingkatkan keupayaan mereka bagi memastikan mereka juga menjadi penyumbang kepada pembangunan negara di masa hadapan.

Perkara ini telah dibincangkan oleh saya di dalam satu wawancara di RTM yang bertajuk “Vaksinasi Covid-19: Usaha NGO dan sukarelawan harus diperketat” pada tarikh 15 Jun 2021, yang mana saya menzahirkan pendapat saya bahawa terdapat keperluan yang amat mendesak untuk pertubuhan-pertubuhan yang dianggotai oleh masyarakat umum di Malaysia, bagi menyahut cabaran membantu negara ini dalam menghadapi situasi Covid-19 yang sedang menular.

Apabila negara atau sesebuah negeri ditimpa musibah, NGO perlu tampil kehadapan bagi memberi sokongan kepada pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Di sini, semangat kesukarelawanan dan juga patriotism amatlah diperlukan, kerana dengan adanya platform sebagai sebuah pertubuhan, para aktivis atau penggerak kepada pertubuhan-pertubuhan ini harus menjalankan tugas mereka sebagai pemangkin kepada pemulihan semangat rakyat.

Tetapi dengan jumlah ribuan persatuan yang berdaftar dengan ROS pada ketika ini, sudah tentu sukar untuk menyelaraskan gerak kerja persatuan-persatuan ini, lebih-lebih lagi dari sudut pembiayaan pertubuhan dan juga bilangan ahli. Oleh yang demikian pada Julai 2019, saya telah menubuhkan Penggerak Komuniti Negara (PKN), yang merupakan satu organisasi NGO yang terdiri daripada pelbagai persatuan di kalangan masyarakat. PKN berperanan sebagai badan induk yang menjadi tunjang kepada persatuan-persatuan sedia ada dan bertindak sebagai penyelaras dalam hal-hal berkaitan untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

Usaha penggabungan persatuan-persatuan ini dijalankan bagi memastikan peranan yang lebih besar dapat dimainkan oleh masyarakat di komuniti setempat. PKN juga membolehkan pertubuhan-pertubuhan yang pelbagai ini menyelaraskan aktiviti mereka bagi mempercepat pembangunan di setiap kawasan yang diwakili oleh pertubuhan-pertubuhan pelbagai ini, terutamanya dari aspek pemerkasaan ekonomi dan juga pembangunan sosial.

Jika dahulu, pertubuhan-pertubuhan ini mengamalkan budaya kerja secara silo, kini mereka berupaya untuk bergabung dengan pertubuhan lain melalui PKN, bagi meningkatkan lagi impak gerak kerja mereka kepada komuniti. Sepertimana yang kita tahu, Penggerak Komuniti Negara (PKN) bernaung di bawah Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, yang mana mereka mempunyai akses untuk mendapatkan bantuan bagi pembangunan komuniti mereka terus daripada pihak kerajaan.

Tepat pada masanya, penubuhan PKN telahpun bermula sebelum kedatangan Covid-19 di Malaysia. Lantas apabila negara kita dilanda dengan wabak yang dasyat ini, PKN telahpun bersedia dengan mempunyai sukarelawan yang terlatih dan komited dalam melaksanakan kerja-kerja bantuan komuniti di seluruh negara.

Selain menjalankan khidmat kesukarelawanan melalui PKN, ahli-ahli PKN juga amat digalakkan untuk menyertai MYVac (Malaysia Vaccine Support Volunteers) yang membantu para frontliners kita untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia.

Secara holistiknya, ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi NGO dan aktivis kesukarelawanan kerana dengan kerjasama yang erat antara kerajaan dan NGO, kita dapat bersama-sama mengharungi segala cabaran demi negara yang kita cintai.

Jika dahulu, pihak kerajaan dan NGO sentiasa dilihat sebagai entiti yang amat terasing antara satu sama lain, kini kedua-dua pihak dapat duduk semeja dan bersama-sama merencana masa hadapan negara yang lebih cemerlang. Saya berharap kerjasama antara kerajaan dan NGO ini tidak berakhir setelah tamatnya ancaman Covid-19 sahaja, tetapi berterusan,terutamanya dalam hal-hal lain yang berkaitan dengan masyarakat.

PKN juga mengalu-alukan mana-mana pertubuhan atau orang persendirian untuk berkerjasama dalam menjalankan aktiviti di kawasan komuniti setempat. Sungguhpun fokus PKN pada ketika ini adalah kepada pembangunan komuniti B40 di kawasan bandar dan luar bandar, sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti dan program khidmat masyarakat PKN secara langsung dengan menghubungi wakil-wakil PKN di seluruh Malaysia. -SuaraTV

Beliau adalah Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan dan juga merangkap Penasihat Penggerak Komuniti Negara (PKN) Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat