PUTRAJAYA – Peguam, Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) selepas beberapa hari dilantik untuk menyandang jawatan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh KKMM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu hari ini.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia ingin memaklumkan bahawa peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli MPKM.
“Bagaimanapun keputusan ini tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang telah ditubuhkan pada 9 Jun 2020 yang lalu,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, MPKM akan terus berperanan membincangkan dan menasihati kementerian dalam pendekatan dan dasar berkenaan komunikasi dan multimedia.
Pelantikan Paulsen mula dibangkitkan oleh ramai pihak agar menarik balik erlantikan tersebut.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mempersoalkan asas pelantikan itu dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tampil memberi penjelasan.
Asyraf mendakwa Paulsen pernah mengguris hati orang Islam dengan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Islam, antaranya mendakwa khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme pada 2015.