KWAP lantik Jay Khairil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] melantik bekas Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) Dato’ Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa pada 20 Mei ini.

KWAP menerusi kenyataannya memaklumkan Jay Khairil mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas yang merangkumi pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko dan transformasi institusi.

“Jay Khairil berpengalaman luas dalam aspek prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan, di samping melaksanakan mandat BSN dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh Malaysia.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Audit Dalaman BSN, selain memegang jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia, dengan pengalaman awal kerjaya di Hong Leong Bank dan AmMerchant Bank, ”kata kenyataan itu.

Katanya, Jay Khairil memiliki Ijazah dalam bidang Perniagaan dan Kewangan dari Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland, United Kingdom, serta Diploma Lanjutan dalam Perakaunan Pengurusan (Management Accounting).

Beliau merupakan Chartered Banker, Chartered Global Management Accountant dan Certified Financial Services Auditor, serta ahli Malaysian Institute of Accountants dan Chartered Institute of Management Accountants. Beliau juga merupakan Ahli Berpiagam Institute of Internal Auditors Malaysia

“Jay Khairil akan menerajui hala tuju strategik, operasi dan keutamaan institusi, di samping melaksanakan mandat KWAP sebagai dana persaraan sektor awam Malaysia melalui pelaburan yang berdisiplin, tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan institusi dalam jangka panjang, ”tambahnya.

Dalam pada itu, KWAP merakamkan penghargaan kepada Datuk Hjh. Nik Amlizan Mohamed yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sejak tahun 2020, atas kepimpinan, khidmat dan sumbangan beliau kepada kejayaan berterusan organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat