Percepatkan pengeluaran tenaga solar, keterjaminan makanan sistematik boleh ‘selamatkan’ Malaysia – Prof Jomo

KUALA LUMPUR- Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada pengeluaran tenaga boleh baharu serta mempunyai perancangan jaminan makanan yang lebih komprehensif di tengah-tengah persekitaran mencabar susulan impak ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Pakar ekonomi Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram berkata, selama beberapa dekad beliau menyarankan supaya Malaysia mempercepatkan pengeluaran tenaga boleh baharu seperti solar.

Beliau yang juga Penasihat Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Profesor Adjung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kos penjanaan tenaga solar menggunakan panel dilihat jauh lebih murah berbanding hampir kesemua jenis tenaga bahan api fosil yang lain di pasaran, kecuali arang batu.

“Bagi Malaysia, saya fikir adalah penting untuk kita sedar bahawa selain harga tenaga, yang telah saya syorkan selama beberapa dekad sekarang agar kita mempercepatkan pengeluaran tenaga boleh baharu.

“Kos tenaga solar daripada panel adalah jauh lebih murah daripada semua tenaga lain, termasuk tenaga bahan api fosil, kecuali arang batu,” katanya menurut BH pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada forum Perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran: Implikasi kepada Malaysia, ASEAN dan Dunia Islam anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia secara dalam talian.

Jomo juga berkata, arang batu yang digunakan di Malaysia penuh dengan sulfida dan sulfat, yang boleh mendatangkan kemudaratan besar kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitarnya.

Menurutnya, perkembangan pesat pusat data di negara ini juga memberi cabaran dari segi penyediaan bekalan air yang mencukupi, memandangkan pusat pemprosesan data menggunakan air yang tinggi untuk penyejukan.

Katanya, industri semikonduktor juga dijangka terkesan impak konflik Asia Barat memandangkan bekalan helium yang digunakan untuk penyejukan datang dari negara Teluk.

Jomo berkata, Malaysia juga perlu mula berfikir secara serius mengenai keterjaminan makanan secara sistematik memandangkan pengeluaran makanan dijangka tertangguh berikutan baja yang digunakan di Asia Tenggara adalah dari negara Teluk.

Beliau berkata, kebanyakan pengeluaran baja memerlukan tenaga yang tinggi, justeru akan memberi kesan tertangguh dari segi pengeluaran makanan.

“Malaysia perlu mula berfikir secara serius mengenai keterjaminan makanan secara sistematik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat