Jika tak isytihar darurat pun tunggu keadaan global stabil dulu sebelum pilihan raya – MP Kota Melaka

KUALA LUMPUR -Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menjelaskan cadangan untuk mengisytiharkan darurat hanyalah salah satu pendekatan yang beliau kemukakan, berdasarkan pengalaman ketika pandemik COVID-19.

Bagaimanapun katanya, jika ia tidak sesuai boleh berbahas dan mencari alternatif lain — contohnya menunggu sehingga keadaan global kembali stabil sebelum mengadakan pilihan raya.

Tambahan pula ujar Poay Tiong, pilihan raya negeri sebenarnya hanya wajib diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2027, jadi mengapa perlu tergesa-gesa?

“Isu utama dan persoalan yang perlu dijawab ialah: adakah sekarang masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya?

“Dunia kini sedang berdepan dengan krisis geopolitik yang serius, yang telah membawa kepada masalah bekalan tenaga dan bahan api, malah berpotensi menyebabkan kenaikan kos makanan dalam masa terdekat. Krisis ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan memberi kesan besar kepada rakyat dan perniagaan.

“Dalam keadaan sebegini, adakah wajar untuk mengadakan pilihan raya negeri, apatah lagi apabila terdapat spekulasi bahawa ia mungkin diadakan seawal bulan Jun atau Julai tahun ini? Ini akan mengalihkan sumber, masa dan tenaga daripada perkara yang lebih penting.

“Jelas sekali jawapannya adalah tidak, kerana terdapat keutamaan lain yang lebih mendesak,” katanya.

Poay Tiong juga mengingatkan, tidak perlu bersikap sombong atau memberi syarahan kepada orang lain tentang “maruah”.

“Jaga diri sendiri terlebih dahulu. Pepatah Melayu ada mengatakan, “meludah ke langit, terkena muka sendiri.”

“Sama ada seseorang itu masih memegang jawatan Exco atau tidak, itu bukan isu utama kepada rakyat,” selar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat