KUALA LUMPUR – “Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa”, akui Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bekas Ketua Pemuda Umno itu merakam ucapan penghargaan buat Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungan beliau atas semangat Rumah Bangsa.
“Segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam, atas limpah kurnia-Nya mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Dalam bulan yang mulia ini juga, saya mensyukuri kesempatan yang diberikan untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Terima kasih kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungan saya atas semangat Rumah Bangsa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.
“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti.
“Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari Umno dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula. Saya harap Presiden Umno, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya,” ungkap bekas Menteri Kesihatan itu.
Menurut Khairy lagi, di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – Umno – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.
“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.
“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah.
Insya-Allah, I’m coming home,” kata Khairy.



