KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu sedang menjalin hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat.
Menurut beliau, dakwaan berkenaan dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan keharmonian dalaman BERSATU serta hubungan antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin menegaskan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menjadi badan penentu dasar dan hala tuju BERSATU.
“Ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan keharmonian dalam parti BERSATU dan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, BERSATU mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat, dan sebarang kerjasama politik dengan parti lain hanya akan dibuat berlandaskan prinsip tersebut.
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa atas prinsip yang sama, BERSATU bersama PAS telah mengasaskan Perikatan Nasional, yang kemudiannya disertai oleh GERAKAN dan Parti Maju India Malaysia (MIPP).
Katanya, PN kekal sebagai wadah terbaik untuk BERSATU merealisasikan perjuangan politiknya dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan fokus utama BERSATU ketika ini adalah memperkukuhkan organisasi parti serta mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Kita memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti dan memperkuatkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-16,” katanya.



