Hebatkah KJ? – Ibrahim Ali beritahu orang Melayu perlukan pejuang bangsa

KUALA LUMPUR – Adakah kemasukan dua tokoh iaitu Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke dalam Umno mampu memadam persepsi rakyat bahawa parti itu hari ini sedang bergelut dengan krisis kredibiliti dan pelbagai penyakit? soal Presiden Parti PUTRA, Datuk Ibrahim Ali.
Presiden Parti PUTRA

“Hebat ke KJ itu? KJ Tingkat 4. Rakyat dan saya tidak lupa. Saya Melayu yang tidak pernah lupa.

“KJ jika tidak kerana menantu Perdana Menteri, mungkin Ketua Cawangan pun sukar menang. Dah jadi Menteri pun kalah PRU. Lainlah kalau calon bebas yang tidak berduit. DJ radio bukan pejuang politik. Populariti yang terhad kepada yang gemar hiburan.

“Orang Melayu memerlukan pejuang bangsa jika Umno mahu hidup dan mendapat sokongan,” tegas beliau dalam kenyataan media pada Isnin.

Ibrahim berkata demikian selepas membaca kenyataan yang mendakwa bahawa kemungkinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, serta lain-lain tokoh kembali ke dalam Umno kononnya akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) melalui Rumah Bangsa.

“Ya ke? Terus terang saya katakan, sebelum membuat kesimpulan seperti itu, ada beberapa soalan besar yang perlu dijawab oleh kepimpinan Umno.

“Soalan pertama, adakah keyakinan rakyat terhadap Umno runtuh kerana kekurangan tokoh, atau kerana krisis integriti yang melanda kepimpinan parti itu sendiri?

” Soalan kedua, adakah rakyat akan lupa bahawa Umno hari ini dipimpin oleh seorang presiden yang membawa imej 47 kes prima facie walaupun mendapat NFA? Yang memberi NFA ialah Peguam Negara, bukan rakyat atau pengundi. Mindset rakyat ketika ini ialah Umno sebuah parti kleptokrasi setelah dilanda isu 1MDB, dan ramai dalam kalangan pemimpin Umno dilihat tidak bersih.

“Rakyat tahu dan rakyat tidak buta,” ujarnya.

Sementara itu, Ibrahim juga mengajukan persoalan bagaimana Umno mahu bercakap tentang maruah politik Melayu sedangkan hari ini parti itu berada dalam kerajaan yang sama dengan DAP, parti yang selama puluhan tahun Umno sendiri tuduh sebagai ancaman kepada politik Melayu? Bagaimana dengan sumpah laknat “No Anwar, No DAP”?

“Selain itu, jika benar Umno mahu memulihkan keyakinan rakyat, adakah kepimpinan parti sanggup melakukan reformasi sebenar termasuk membersihkan kepimpinan yang kotor dan hipokrit? Sanggupkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang dilihat bersih demi masa depan Umno? Buktikan keikhlasan dan buang kepentingan diri. Rumah Bangsa ada dalam roh diri yang ikhlas, bukan retorik atau upah orang membina rumah yang tidak ada tiang seri yang akhirnya dilihat sebagai rumah hantu.

“Soalan keenam, adakah Umno sanggup keluar daripada kerajaan yang bergantung kepada sokongan DAP jika benar mereka mahu kembali kepada prinsip perjuangan Melayu dan Islam?

“Soalan ketujuh, adakah rakyat akan melihat kemasukan semula beberapa tokoh sebagai perubahan sebenar atau sekadar kosmetik politik menjelang pilihan raya, dan menjadi bahan ketawa rakyat? Cukup sudah menang sorak, kampung tergadai.

“Soalan kelapan, adakah Umno benar-benar mahu memperbaiki parti atau sekadar cuba menghidupkan semula imej lama yang telah rosak di mata rakyat?

Soalan kesembilan, jika kepimpinan Umno sendiri tidak berubah, bagaimana mungkin rakyat percaya bahawa parti itu telah berubah?

“Dan soalan terakhir yang paling penting, adakah Umno benar-benar mahu memulihkan kepercayaan rakyat, atau sekadar mahu memulihkan peluang untuk kembali berkuasa dan meneruskan kerenah lama? soal Ibrahim.

Menurut beliau, rakyat Malaysia hari ini jauh lebih matang daripada dahulu. Mereka tidak lagi menilai parti berdasarkan wajah pemimpin semata-mata, tetapi berdasarkan prinsip, integriti dan konsistensi perjuangan, gaya hidup, serta sama ada pemimpin itu dilihat bersih, amanah, tidak hipokrit dan tidak munafik.

“Oleh itu, sebelum bercakap tentang kembalinya keyakinan rakyat, kepimpinan Umno perlu terlebih dahulu menjawab persoalan-persoalan asas yang menjadi punca kejatuhan kepercayaan rakyat terhadap parti Umno. Parti Kongres India masih hidup tetapi lumpuh kerana terlalu lama tidak berubah. Yang tidak berubah mengikut hukum alam akhirnya menjadi barang antik yang tidak lagi berguna.

“Maaf andai tersinggung, tetapi yang benar tetap benar. Jangan terasa hati,” ujar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat