KUALA LUMPUR,– Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti haram melibatkan sumber negeri bagi memastikan khazanah negeri tidak dieksploitasi secara tidak sah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri kini mempunyai satu pasukan khas penguatkuasaan yang bertindak memantau serta mengambil tindakan terhadap aktiviti tidak sihat melibatkan sumber negeri.
Menurut beliau, mereka yang didapati melakukan kesalahan tidak lagi hanya dikenakan kompaun, sebaliknya akan dibawa terus ke mahkamah.
“Sekarang ini kita ada satu pasukan khas. Mereka yang melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat ini akan diambil tindakan.
“Malah kita tidak lagi kompaun, sebaliknya kita bawa kes-kes ini ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.
Wan Rosdy menjelaskan tindakan tegas itu bukan bertujuan mengaibkan mana-mana individu, sebaliknya bagi memberi pengajaran supaya hasil kerajaan negeri dan khazanah negeri tidak dikeluarkan secara haram.
“Tujuannya bukan untuk mengaibkan mana-mana individu tetapi untuk memberi pengajaran bahawa hasil kerajaan negeri dan khazanah negeri tidak boleh dikeluarkan secara haram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan hasil negeri yang lebih baik membolehkan kerajaan negeri menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini berjaya menguruskan ketirisan, kebocoran serta tunggakan termasuk tunggakan cukai tanah yang sebelum ini berada pada tahap tinggi.
“Kita uruskan dengan baik dan kutip semula tunggakan tersebut, sekali gus menjana keuntungan kepada kerajaan negeri selain peningkatan hasil daripada sumber-sumber baharu,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri terus komited membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang beraya melalui Program Baucar Raya “Moh Balik Negeri Pahang” yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Bagi tahun ini, nilai baucar dinaikkan kepada RM100 seorang dengan jumlah penerima meningkat kepada 10,000 anak Pahang di seluruh negara, berbanding RM50 kepada 5,000 penerima pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, 2,000 penerima menerima baucar pada majlis malam tadi di Kuala Lumpur, manakala 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang.
Program berkenaan turut menerima sambutan luar biasa apabila 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sahaja sejak permohonan dibuka.
Wan Rosdy turut menasihatkan anak-anak Pahang yang pulang ke kampung halaman agar merancang perjalanan dengan baik serta sentiasa berhati-hati di jalan raya demi keselamatan diri dan keluarga.



