CYBERJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil seperti yang diperuntukkan di bawah Malaysia Agreement 1963 merupakan hak yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, segala perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian bersejarah itu perlu dihormati serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak.
Menurutnya, Sabah adalah antara negeri pengasas Malaysia dan setiap komitmen yang terkandung dalam MA63 perlu dihormati dengan integriti.
“Sabah adalah antara pengasas negara ini. Maka apa yang telah dipersetujui dalam MA63 wajib dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan Persekutuan komited memastikan hak tersebut direalisasikan secara tertib dan telus supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah.
Beliau menegaskan bahawa usaha melaksanakan komitmen tersebut bukan sekadar memenuhi kewajipan perjanjian, tetapi juga sebagai langkah memperkukuh pembangunan negeri berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan hak ini direalisasikan secara tertib dan telus supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah sekali gus memperkukuh pembangunan negeri ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, pelaksanaan hak tersebut merupakan amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat Sabah.
“Ini adalah amanah dan janji yang akan kita tunaikan buat rakyat Sabah,” katanya.



