KUALA LUMPUR,– Gagasan baharu “Rumah Bangsa” yang diumumkan Presiden UMNO membuka ruang kepada bekas ahli parti yang digantung atau dipecat sebelum ini untuk kembali bersama keluarga besar UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata gagasan tersebut selari dengan sejarah penubuhan parti itu yang berteraskan perpaduan sejak tahun 1946.
Menurut beliau, UMNO ditubuhkan ketika orang Melayu berpecah dan parti itu memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat Melayu ketika itu.
“UMNO ini DNA-nya adalah perpaduan. Pada tahun 1946 apabila orang Melayu berpecah, di situlah tertubuhnya UMNO untuk menyatukan mereka.
“UMNO merupakan parti perpaduan yang ditubuhkan lebih awal daripada parti-parti Melayu yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut Mohd Sharkar, keputusan untuk membuka ruang kepada bekas ahli kembali menyertai UMNO dipersetujui oleh Presiden parti bersama Majlis Tertinggi UMNO.
Katanya, langkah tersebut bertujuan mengembalikan semula rakan-rakan lama parti yang sebelum ini digantung atau dipecat atas pelbagai kekhilafan.
“Kita mengambil keputusan untuk memanggil balik rakan-rakan kita sama ada yang digantung ataupun dipecat kerana kekhilafan dan kesilapan tertentu.
“Kita mahu mereka kembali bersama dalam keluarga besar UMNO,” katanya.
Tambah beliau, beberapa tokoh termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Noh Omar menyambut baik gagasan tersebut.
Malah katanya, terdapat juga dalam kalangan mereka yang telah menghantar surat bagi menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO.
“Ada yang sudah menulis surat kepada kita untuk kembali bersama UMNO. Permohonan itu datang dari pelbagai peringkat termasuk kepimpinan tinggi, bahagian, negeri dan juga cawangan,” katanya.
Beliau berkata ramai berpandangan bahawa UMNO masih mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh berdasarkan pengalaman lebih 60 tahun mentadbir negara sejak kemerdekaan.
Menurutnya, Malaysia berjaya mencapai pembangunan yang lebih baik berbanding beberapa negara lain yang mencapai kemerdekaan pada tempoh yang sama.
“Banyak negara merdeka pada waktu yang sama seperti Kenya, Uganda dan Ghana, tetapi Malaysia ternyata lebih ke hadapan.
“Ini kerana kepimpinan UMNO yang menerajui pembangunan negara sejak dahulu,” katanya.
Justeru beliau menegaskan bahawa fokus utama kepimpinan negara adalah memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik termasuk peluang pekerjaan, kediaman serta kestabilan politik.
“Akhirnya apa yang rakyat mahukan ialah makanan di atas meja, wang dalam poket, rumah, pekerjaan dan kestabilan politik supaya semua orang dapat hidup dengan aman,” katanya.



