Komunikasi krisis Kerajaan Anwar didakwa tak berfungsi seperti diharapkan – Pemuda Pas

KUALA LUMPUR – Pengurusan komunikasi kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Mohd Hafez Sabri menegaskan, komunikasi krisis kerajaan sangat berbeza dengan komunikasi polisi berkaitan inisiatif kerajaan sebelumnya.

“Pengurusan komunikasi kerajaan di bawah pentadbiran PMX tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Kandungan ucapan PMX sentiasa berlebihan meletakkan elemen promosi diri melalui memuji dan mengagungkan diri dan kerajaan. Namun, intipatinya tidak segah mana.

“Komunikasi krisis kerajaan sangat berbeza dengan komunikasi polisi berkaitan inisiatif kerajaan sebelumnya. Komunikasi krisis terbukti gagal dalam beberapa insiden yang menggegarkan negara, antaranya insiden kematian Adik Zara Qayrina, letupan paip di Putra Height serta yang terbaharu isu pemalsuan dokumen pemain warisan dan isu kuil haram yang kian merisaukan.

“Dalam sesuatu krisis atau isu, kepimpinan negara seharusnya tampil mengambil langkah mengawal situasi dan keadaan semasa serta berkomunikasi secara jelas dan berkesan dengan rakyat.

“Komunikasi krisis yang baik bukan sahaja penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat, malah berfungsi menenangkan keadaan serta mengelakkan spekulasi berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan dan ketenteraman masyarakat awam,” kritiknya dalam kenyataan media pada Isnin.

Hafez yang juga Adun Manjoi berkata, walaupun demikian, negara kita tidak pernah surut dengan krisis, bezanya kebijaksanaan kerajaan terdahulu menguruskannya.

Mengambil contoh insiden kehilangan pesawat MH370, beliau berkata, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkembangan kepada umum secara konsisten.

“Demikian juga sewaktu pandemik COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu bersama Menteri Kesihatan dilihat berjaya mengurus komunikasi dengan baik melalui penyampaian maklumat yang jelas, teratur dan konsisten kepada rakyat.

“Bekas Perdana Menteri pula, Tan Sri Muhyiddin tampil dengan ucapan yang rakyat-centric, penghargaan kepada kepatuhan dan sokongan rakyat dan konsisten memujuk dan menyuntik keyakinan rakyat tanpa retorik dan jargon politik.

“Malangnya, komunikasi krisis hari ini tidak berfungsi seperti yang diharapkan meskipun negara dihimpit dengan pelbagai krisis yang semakin parah,” ujarnya.

Menurut Hafez lagi, walaupun sudah beberapa hari berlalu, masih banyak kritikan dilemparkan terhadap pengumuman yang dibuat Anwar berkaitan perubahan harga minyak domestik. Tidak ada yang menarik.

“Kalau diikutkan sifir PMX sendiri, sepatutnya kenaikan harga minyak global adalah suatu tanda positif kepada penentuan harga minyak di peringkat domestik. Malah, sepatutnya subsidi minyak semakin berkembang kerana “lebihan keuntungan” yang bakal negara nikmati.

“Rupanya ia sekadar mimpi di siang hari. Apa yang diumumkan PMX tempoh hari sangat berbeza nadanya dengan apa yang disebutkan dan dijuangkan ketika beliau menjadi pembangkang dahulu kala.

“Rakyat menzahirkan kekecewaan berikutan langkah pra pengumuman yang agak berlebihan atau ‘overmarketing’, walhal insentif dalam pengumuman tersebut terhadap rakyat tidaklah seberapa pun.

“Skrip yang sama tahun lalu sewaktu kerajaan membina naratif sebelum pengumuman RM1.99 untuk minyak RON95. Indah khabar dari rupa. Ibarat percikan bunga api yang hanya indah untuk sementara kemudian tenggelam ditelan kegelapan malam,” selar Hafez.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat