Dari Robot Phone ke Magic V6, HONOR buktikan inovasi di MWC 2026

Jenama teknologi global HONOR sekali lagi mencuri perhatian dunia teknologi apabila meraih pengiktirafan meluas di Mobile World Congress 2026 yang berlangsung di Barcelona.

Pada acara tahunan yang menghimpunkan pemain utama industri mudah alih itu, HONOR berjaya membawa pulang lebih 70 anugerah daripada pelbagai media antarabangsa hasil inovasi teknologi dan barisan peranti terbaharu mereka.

Antara perkara yang paling menarik perhatian di acara tersebut ialah pengenalan Robot Phone, satu konsep peranti yang menggabungkan fungsi telefon pintar dengan elemen robotik dan kecerdasan buatan. Walaupun masih di peringkat konsep, idea ini memberi gambaran tentang bagaimana telefon pintar mungkin akan berkembang pada masa hadapan.

Jika sebelum ini telefon sekadar alat komunikasi dan hiburan, Robot Phone menunjukkan kemungkinan ia menjadi sesuatu yang lebih “hidup” mampu berinteraksi dengan pengguna dengan cara yang lebih semula jadi.

Tidak hairanlah konsep ini mendapat perhatian meluas daripada media global. Media seperti Bloomberg menyifatkan pelancaran tersebut sebagai sesuatu yang boleh memberi arah baharu kepada industri mudah alih.

Sementara itu, Reuters dan CNBC melihatnya sebagai langkah berani HONOR dalam meneroka teknologi AI berjasad, iaitu kecerdasan buatan yang bukan sahaja wujud dalam perisian, tetapi juga mampu berinteraksi dengan dunia fizikal.

Selain Robot Phone, HONOR turut memperkenalkan beberapa peranti utama yang menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi mereka. Salah satu yang paling mendapat perhatian ialah telefon boleh lipat HONOR Magic V6.

Peranti ini dipuji kerana reka bentuknya yang sangat nipis tetapi masih mengekalkan ketahanan dan prestasi yang tinggi. Dengan penggunaan cip terkini daripada Qualcomm, telefon ini menawarkan prestasi kelas perdana sambil mengekalkan reka bentuk yang elegan.

Beberapa media teknologi turut memberi pujian terhadap Magic V6. TechRadar misalnya menyifatkan peranti tersebut sebagai antara telefon boleh lipat yang menetapkan penanda aras baharu dalam industri. Reka bentuk nipis, ketahanan yang baik serta kapasiti bateri yang besar menjadikannya antara model yang paling menonjol dalam kategori telefon boleh lipat ketika ini.

HONOR juga menerima pengiktirafan penting dalam aspek inovasi teknologi bateri apabila Magic V6 memenangi anugerah Global Mobile bagi kategori inovasi peranti disruptif. Teknologi bateri silikon karbon yang digunakan membolehkan kapasiti bateri yang lebih besar dimuatkan dalam badan telefon yang nipis.

Pada masa sama, HONOR turut memperkenalkan generasi baharu bateri Silicon-Carbon Blade yang menawarkan ketumpatan tenaga lebih tinggi, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan peranti yang lebih nipis tetapi tahan lebih lama.

Tidak hanya tertumpu kepada telefon pintar, HONOR turut menampilkan beberapa peranti lain yang melengkapkan ekosistem mereka. Antaranya ialah tablet HONOR MagicPad 4 dan komputer riba HONOR MagicBook Pro 14 (2026) yang direka untuk pengguna profesional serta pencipta kandungan.

Kedua-dua peranti ini menekankan prestasi tinggi dan integrasi teknologi AI bagi membantu meningkatkan produktiviti pengguna.

Tablet MagicPad 4, misalnya, menerima pujian daripada TechAdvisor kerana reka bentuknya yang sangat nipis serta pengalaman penggunaan yang fokus kepada produktiviti. Sementara itu, MagicBook Pro 14 pula dilihat sebagai langkah besar HONOR dalam kategori komputer riba AI, dengan peningkatan prestasi serta integrasi teknologi pintar yang lebih menyeluruh.

Secara keseluruhannya, pengiktirafan yang diterima HONOR di MWC 2026 menunjukkan bagaimana syarikat tersebut semakin serius membina ekosistem teknologi yang lebih pintar dan saling berhubung.

Daripada konsep Robot Phone yang futuristik sehinggalah kepada peranti seperti Magic V6, MagicPad 4 dan MagicBook Pro 14, HONOR jelas cuba membawa pengalaman teknologi yang lebih maju kepada pengguna.

Apa yang dipamerkan di Barcelona tahun ini juga memberi gambaran bahawa masa depan telefon pintar mungkin tidak lagi sekadar tentang kamera yang lebih hebat atau cip yang lebih laju. Sebaliknya, ia mungkin lebih tertumpu kepada bagaimana teknologi boleh menjadi lebih pintar, lebih intuitif dan lebih dekat dengan kehidupan seharian pengguna.

Dengan inovasi yang dipertontonkan di MWC kali ini, HONOR nampaknya sedang mengambil langkah awal ke arah masa depan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat