KJ mohon kembali sertai UMNO, Zahid sahkan terima surat rayuan

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima kunjungan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai parti itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Zahid menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai sebahagian daripada usaha penyatuan melalui inisiatif Rumah Bangsa.

Menurut beliau, pertemuan tersebut berlaku dalam suasana penuh keberkatan pada malam ke-26 Ramadan dan membawa makna penting dalam usaha merapatkan semula saf perjuangan parti.

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa – sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” katanya.

Zahid berkata, secara peribadi beliau telah menerima permohonan Khairy dan akan memanjangkan perkara itu kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi serta diperakukan sewajarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam perjalanan politik, penyatuan perlu diutamakan berbanding perpecahan yang boleh melemahkan parti.

“Seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.

Zahid berharap inisiatif Rumah Bangsa dapat menjadi asas untuk mempertemukan semula pemimpin dan ahli yang pernah berpisah, sekali gus memperkukuh kekuatan UMNO sebagai parti teras politik Melayu dan umat Islam di negara ini.

Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 susulan pelanggaran disiplin parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Langkah terbaharu ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam dinamika politik UMNO menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya dalam usaha memperluas sokongan dan memulihkan kekuatan parti di peringkat akar umbi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat