KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera yang menyeluruh mengenai status sebenar Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini terbatal, implikasi ekonomi dan diplomatiknya kepada Malaysia, selain langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan negara.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini memandangkan isu ini melibatkan kepentingan perdagangan serta hubungan ekonomi strategik Malaysia dengan AS, maka PN juga berpandangan kerajaan wajar memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membolehkan Ahli ahli Parlimen diberikan taklimat penuh dan seterusnya membahaskan implikasi perkembangan terbaru ini secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Ini termasuklah persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS, selain menunaikan hak Parlimen untuk diberitahu tentang apa-apa komitmen yang mungkin dibuat atau konsesi diberikan dalam rundingan sebelum ini.
“Langkah ini penting bukan sahaja untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi juga bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan wajarnya dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara dan kepentingan jangka panjang ekonomi kita.
“PN akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan,” tegas Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Takiyuddin lagi, PN mengambil maklum kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mengesahkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini terbatal susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang menjejaskan asas undang undang perjanjian tersebut.
Ujar Setiausaha Agung Pas itu, perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan bawah perjanjian berkenaan sebelum ini, terutama kesannya terhadap industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan dan kepastian dasar pelaburan kita.
“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur kepada Malaysia menjadi semakin penting.
“PN percaya mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai. implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani dengan ketelusan dan penelitian institusi yang tinggi.
“Hakikat bahawa ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati dan penelitian menyeluruh dibuat sebelum negara terikat dengan apa-apa komitmen perdagangan antarabangsa,” kata beliau yang juga pengamal undang-undang.



