8 Ahli Parlimen PKR cadang Malaysia dapatkan pembatalan rasmi ART

KUALA LUMPUR – Lapan Ahli Parlimen PKR mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia menulis dan mengesahkan secara rasmi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia -Amerika Syarikat (AS), serta berusaha mendapatkan persetujuan rasmi Kerajaan AS bahawa perjanjian ART telah terbatal.

Dalam kenyataan bersama lapan wakil rakyat PKR itu, mereka berkata tidak mahu perkara ini tergantung dan Malaysia terdedah kepada pelbagai tafsiran perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan AS, lebih-lebih lagi jika ada pertukaran pentadbiran kerajaan di masa akan datang.

“Oleh itu, kami menyeru supaya Menteri MITI membuat kenyataan rasmi yang menjelaskan perkara-perkara di atas secepat mungkin dan mengesahkan bahawa pembatalan perjanjian ART telah diikat secara rasmi melalui saluran diplomatik di antara kedua-dua buat negara.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh menutup kelemahan-kelemahan yang berlaku semasa perjanjian ART dirundingkan.

“Pandangan-pandangan yang menasihati kerajaan supaya tidak terburu-buru menandatangani perjanjian sehingga kes diputuskan di Mahkamah Tertinggi Amerika Syarikat diketepikan oleh kerajaan.

“Akhirnya, perjanjian yang ditandatangani dilihat berat sebelah, merugikan dan menjejaskan kedaulatan negara.

“Oleh itu, bagi memastikan bahawa kegagalan perjanjian perdagangan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan, kami menyeru supaya satu siasatan boleh dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Subang Wong Chen,” katanya sambil mengalu-alukan kenyataan yang dibuat semalam oleh Menteri MITI Datuk Seri Johari Ghani, bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini telah terbatal.

Menurut kumpulan itu, siasatan tersebut boleh meliputi perkara-perkara seperti memanggil individu-individu utama yang terlibat dalam penandatanganan ART, khususnya bekas Menteri MIT Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk memberi keterangan di hadapan PSSC.

“Juga eneliti langkah-langkah perlindungan yang lebih kukuh pada masa hadapan, termasuk memastikan bahawa semua perjanjian perdagangan disertakan dengan analisis kos faedah yang
komprehensif dan boleh diakses oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu; dan memastikan bahawa semua perjanjian perdagangan pada masa hadapan memerlukan kelulusan undi Parlimen sebelum
ditandatangani.

“Walaupun PSSC telah bersidang sebelum ini mengenai perkara ini, ada kecenderungan segelintir yang dipanggil untuk mengelak dan tidak hadir ke sesi pendengaran.

“Kami ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya menghormati kedudukan Parlimen dalam sistem demokrasi negara dan hadir ke sesi
pendengaran, apabila mereka dipanggil kelak.

“Kami juga ingin mengingatkan Kerajaan Madani bahawa dasar perdagangan Malaysia yang sekian lama berpegang kepada prinsip berkecuali secara aktif serta perdagangan bebas dan adil dengan semua negara mesti terus dihormati dan dipertahankan.

“Kita mesti terus mengelakkan daripada memihak kepada mana-mana blok geopolitik dalam era persaingan perdagangan dan ekonomi yang semakin sengit antara China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Walau bagaimana pun kata mereka, seperti mana gesaan kami sebelum ini, keseluruhan proses berhubung ART perlulah ditangani secara telus oleh kerajaan.

“Pada ketika ini, kenyataan Menteri MITI belum lagi menjawab dan mengesahkan perkara-perkara berikut iaitu – adakah Kerajaan Malaysia telah menulis secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat menyatakan bahawa perjanjian ART telah terbatal secara muktamad?

“Selain itu, sekiranya itu telah berlaku, apakah maklum balas rasmi dari Kerajaan AS mengenai hasrat Kerajaan Malaysia itu? Adakah Kerajaan AS telah mengesahkan bahawa perjanjian ART telah
terbatal?

“Sekiranya Kerajaan Malaysia masih belum menulis dan belum ada apa-apa komunikasi rasmi mengenai perkara ini, apakah asas yang digunakan kerajaan untuk membuat kesimpulan bahawa
perjanjian ART telah terbatal? soal mereka.

Wong Chen
Ahli Parlimen Subang

Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa

Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik
Ahli Parlimen Balik Pulau

Kesavan a/l Subramaniam
Ahli Parlimen Sungai Siput

Rodziah Ismail
Ahli Parlimen Ampang

Zahir Hassan
Ahli Parlimen Wangsa Maju

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat