KUALA LUMPUR, – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melancarkan Pelan Pemerkasaan 100 Hari sebagai langkah strategik memperkukuh organisasi sayap wanita parti di seluruh negara serta memperkemaskan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Pelan tersebut diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan Srikandi yang dipengerusikan oleh Pemangku Ketua Srikandi Malaysia, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Mesyuarat itu menekankan kepentingan memperkukuh kekuatan Srikandi di peringkat akar umbi bagi memastikan jentera wanita parti lebih tersusun dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut kenyataan itu, pelan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan organisasi di peringkat bahagian dan cawangan, termasuk penyusunan semula struktur yang memerlukan penambahbaikan melalui pelantikan Jawatankuasa Penaja serta usaha memperluaskan penubuhan cawangan dan keahlian baharu di seluruh negara.
Bagi meningkatkan kesiapsiagaan politik, Srikandi turut menubuhkan War Room Pilihan Raya di peringkat nasional bagi menyelaras strategi jentera wanita, pemetaan kawasan tumpuan serta mobilisasi pengundi wanita di seluruh negara.
Selain itu, Unit Latihan dan Akademi Kepimpinan Srikandi akan diperkemaskan untuk melatih lebih ramai pemimpin wanita dalam bidang kepimpinan, komunikasi politik dan pengurusan kempen di peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, Srikandi akan mempergiat peranan sebagai suara wanita dan masyarakat menerusi pelaksanaan beberapa program di bawah inisiatif Srikandi Prihatin.
Antara program utama yang diperkenalkan ialah Program Wanita Bangkit yang memfokuskan pemerkasaan wanita dalam kepimpinan dan ekonomi keluarga, Program Wanita Sihat bagi meningkatkan kesedaran kesihatan wanita serta Program Kebajikan Wanita yang menyediakan sokongan bantuan makanan dan komuniti kepada keluarga memerlukan.
Srikandi juga akan memperluaskan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dan masyarakat sivil bagi memperkukuh advokasi terhadap isu yang memberi kesan kepada wanita dan institusi keluarga.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat itu turut memutuskan beberapa pelantikan baharu termasuk Rosniza Ismail sebagai Penolong Setiausaha BERSATU Malaysia, Siti Farah Abu Hassan sebagai Ketua Penerangan Srikandi Malaysia dan Noor Jeehan Adam sebagai Ketua Srikandi Negeri Melaka.
Menurut Nolee Ashilin, pengisian kepimpinan di peringkat pusat dan pemerkasaan organisasi di peringkat akar umbi dijangka membantu Srikandi memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkukuh sokongan rakyat terhadap BERSATU dan Perikatan Nasional sebagai alternatif kepimpinan negara yang stabil, berintegriti dan berpaksikan rakyat.
Beliau menegaskan Srikandi akan terus bergerak ke hadapan sebagai wadah perjuangan wanita yang matang, bersatu dan komited dalam berkhidmat untuk rakyat.



