Bolehkah Malaysia tuntut balik AS$166 bilion tarif yang dikutip secara tidak sah oleh AS? – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bolehkah Malaysia menuntut agar bahagian Malaysia daripada AS$166 bilion tarif yang dikutip secara tidak sah oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak 2025 dipulangkan kepada syarikat-syarikat Malaysia?

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, ini susulan berita baik apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Ghani mengesahkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat tahun lalu kini terbatal, selepas keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang memutuskan bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump adalah tidak sah.

“Trump kemudiannya menyatakan bahawa beliau akan mengenakan tarif global sebanyak 15 peratus bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas sebelum ini mengumumkan levi 10 peratus ke atas semua barangan yang memasuki Amerika Syarikat. Sama ada tarif baharu ini mematuhi keperluan undang-undang untuk memberikan alasan yang sah seperti yang ditetapkan dalam keputusan Mahkamah Agung, masih belum dapat dipastikan.

“Apa yang menarik ialah nasib kira-kira AS$166 bilion tarif yang telah dikutip sepanjang tahun lalu di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Agung pada Februari 2026.

“Mahkamah juga memutuskan bahawa kerajaan mesti memberikan bayaran balik bukan sahaja bagi semua tarif yang dikutip secara tidak sah, tetapi juga membayar faedah ke atas bayaran tersebut.

“Dengan ART kini terbatal, syarikat-syarikat Malaysia yang telah dipaksa membayar tarif kepada Amerika Syarikat sejak tahun lalu berhak menuntut bayaran balik serta faedah ke atas pembayaran tarif tersebut,” kata pemimpin DAP itu.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Malaysia seharusnya menyenaraikan jumlah daripada AS$166 bilion tarif yang telah dibayar oleh syarikat-syarikat Malaysia, dan membantu syarikat-syarikat ini menuntut semula bayaran balik tarif serta faedah yang berkaitan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat