PN dibentuk tanpa persetujuan kepimpinan, tak ikut perlembagaan PAS – Khairuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perjanjian PAS dengan Perikatan Nasional (PN) pada September 2019 didakwa dibuat tanpa mendapatkan pandangan dan persetujuan kepemimpinan parti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, mendakwa perjanjian itu ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tanpa melalui proses sah mengikut lunas perlembagaan parti.

“PN ditubuhkan tanpa mengikut lunas perlembagaan parti, hanya dengan tandatangan surat oleh presiden parti dan nasihat dua tiga orang sahaja.

“Ia ditandatangani, bersetuju untuk tubuhkan PN tanpa dibawa kepada jawatankuasa harian pusat, tanpa ada kertas kepada ahli jawatankuasa PAS Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama dan dibahaskan untuk dilihat siasah syarie, maqasid syariahnya, belum dipersetujui tetapi sudah diluluskan,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara di BERNAMA TV, malam tadi.

Program dihoskan Sherkawi Jirim itu yang turut disiarkan melalui saluran YouTube dan Facebook BERNAMA TV.

Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, menegaskan sudah berusaha membetulkan kerjasama dengan PN supaya ia mengikut lunas perlembagaan parti

“Ini contoh kesilapan tetapi apa yang berlaku kita diamkan, kita betulkan dalaman sahaja, maka sebab itu digunakan slogan pertahankan Muafakat Nasional (MN) dan perkasakan PN,” katanya.

Beliau menegaskan, MN dicapai bersama UMNO melalui jalan yang panjang dan mengikut lunas perlembagaan parti.

Tegasnya, MN menjadi dasar parti yang dibuat menerusi proses yang hebat, bermula dengan kertas kerja di peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan dibawa ke Majlis Syura Ulama mengikut peraturan Fasa 26 (9)(K).

“Proses itu berlaku, Majlis Syura meluluskan dan dua kali dibawa ke muktamar iaitu pada 2018 dan 2019 sebelum akhirnya kita bersetuju untuk tubuhkan MN.

“Draf MN dibawa ke dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat, Majlis Syura dan diturunkan ke pusat, dibetulkan draf dan dibawa semula ke bawah.

“Kemudian barulah ditandatangani di hadapan ahli dan kepemimpinan PAS dan UMNO di PWTC pada 14 September 2019.

“Ini contoh proses mengikut saluran dan proses dalam parti tetapi apa jadi pada PN,” katanya memetik BH.

PN ditubuhkan secara mengejut bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh pada 24 Februari tahun lalu.

Proses pengambilalihan kerajaan oleh bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu mendapat sokongan ahli Parlimen daripada BERSATU, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Bagaimanapun, pada 30 Julai 2020, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan parti itu tidak menyertai PN secara rasmi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat