1,063 Kes Baru Covid-19 Hari Ini, Jangkitan Terendah Sejak Januari

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan 1,063 kes baharu COVID-19 hari ini iaitu yang terendah sejak Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pertambahan kes hari ini hanya membabitkan tiga negeri yang mencatatkan kes baharu tiga angka, menjadikan jumlah kumultif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 326,034 kes.

Katanya, jumlah kes sembuh juga sudah mencapai 95 peratus apabila 1,365 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif 309,612 kes sembuh.

“Tiga negeri mencatatkan kes baharu tiga angka ialah Selangor dengan 323 kes (30.4 peratus) dan daripada jumlah ini, terdapat 284 kes (88 peratus) daripada kluster sedia ada serta saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sarawak dengan 183 kes baharu (17.2 peratus) dan Pulau Pinang dengan 175 kes (16.5 peratus).

“Selain itu, lapan kes atau 0.8 peratus dikesan adalah berkaitan kluster dalam penjara yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (lima kes) dan masing-masing satu kes dalam Kluster Tembok Bukit Besi, Kluster Penjara Jalan Harapan dan Kluster Jalan Awang.

“Putrajaya dan Perlis pula tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes ialah Johor dengan 91 kes baharu, Kuala Lumpur (86); Kelantan (67); Kedah (32); Perak (24); Terengganu (23) dan Negeri Sembilan (17).

Beliau berkata, Pahang pula mencatatkan dua kes baharu dan Melaka serta Labuan masing-masing satu kes baharu.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 15,204 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu, 152 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 68 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai lima kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata, tiga kes dilaporkan di Sarawak dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur serta Selangor.

Katanya, semua kes kematian hari ini membabitkan lelaki warganegara berusia antara 69 hingga 84 tahun dan mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Sementara itu, mengenai lima kluster baharu dilaporkan hari ini, tiga daripadanya berpunca dalam kalangan komuniti, manakala dua di tempat kerja.

“Kluster komuniti yang dikesan hari ini ialah Kluster Jalan Kampung Hilir membabitkan daerah Sibu dan sudah menjangkiti 35 kes.

“Selain itu Kluster Nanga Bulo di daerah Julau, Sarawak sudah menjangkiti 34 kes, diikuti Kluster Banggol Chicha di Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat yang menjangkiti 17 kes,” katanya.

Bagi kluster di tempat kerja, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Sanyan membabitkan daerah Sibu sudah menjangkiti 19 individu iaitu semua mereka yang disaring.

“Selain itu, Kluster Jalan Taiping pula membabitkan daerah Kepong, Cheras dan Titiwangsa pula menjangkiti lapan individu,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat