Yang mana kena buang, jangan risau boleh sertai saya jadi Bebas – MP Bukit Gantang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, wakil rakyat yang dipecat daripada parti tidak perlu tergesa-gesa menyertai mana-mana parti lain, sebaliknya boleh kekal sebagai wakil Bebas dan fokus berkhidmat kepada rakyat.

“Yang mana kena buang, jangan risau, boleh sertai saya jadi Bebas,” katanya.

Syed Abu Hussin membuat pelawaan berkenaan kepada wakil rakyat yang dipecat daripada parti.

“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan percaturan politik kepartian yang sering menyaksikan pemimpin mempunyai kuasa mutlak, boleh memecat ahli sesuka hati. Pada pandangan saya, lebih baik jadi bebas.

“Bila rakyat pilih kita sebagai wakil mereka, tanggungjawab kita adalah berkhidmat. Dalam Dewan Rakyat, kita sokong siapa yang bagus dan boleh bantu kawasan,” katanya lapor BH di Bukit Gantang pada Isnin.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah usaha membawa pembangunan dan peruntukan ke kawasan masing-masing, bukannya terus bermain sentimen politik sehingga menjejaskan rakyat.

“Kalau betul nak buat khidmat, buat betul-betul supaya rakyat boleh menilai. Jangan asyik salahkan kerajaan kalau tak dapat peruntukan, akhirnya rakyat juga yang rugi,” katanya.

Katanya, wakil rakyat yang dipecat parti mempunyai pendirian masing-masing, namun keutamaan harus diberikan kepada kestabilan dan kebajikan rakyat.

Beliau turut menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri wajar diberikan sekiranya ia mampu membawa manfaat kepada kawasan.

“Politik ini soal perkhidmatan. Kalau sokong Perdana Menteri boleh bantu rakyat dan bangunkan kawasan, itu yang lebih utama,” katanya.

Mengenai kemungkinan beliau kembali menyertai mana-mana parti termasuk Umno menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Saya akan tengok dulu keadaan, saya bukan ikut orang, saya ikut apa yang mereka nak buat untuk rakyat. Kalau keputusan akhirnya untuk bantu rakyat, saya sokong,” katanya menambah kekuatan sebenar terletak pada sokongan akar umbi dan kepercayaan rakyat terhadap wakil yang benar-benar bekerja untuk mereka.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat