KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah menyokong supaya Tan Sri Azam Baki direhatkan daripada tugas sementara siasatan terhadap segala tuduhan yang berbangkit dilaksanakan secara bebas, telus dan menyeluruh.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Danial Al-Rashid menegaskan, pendirian ini bukan bersifat peribadi, tetapi berasaskan prinsip tadbir urus yang baik serta keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebarang kontroversi yang menimbulkan persoalan awam wajar ditangani dengan langkah profesional dan berhemah bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan.
“Pemuda Amanah berpandangan bahawa merehatkan sementara adalah satu langkah pentadbiran yang matang — bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya ruang untuk memastikan proses siasatan dapat dijalankan tanpa campur tangan serta memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi anti-rasuah negara.
“Prinsip “innocent until proven guilty” tetap dihormati. Namun dalam masa yang sama, integriti dan kredibiliti institusi mestilah diutamakan,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia memerlukan institusi yang diyakini rakyat, dan keyakinan itu hanya boleh diperkukuhkan melalui ketelusan serta kebertanggungjawaban.
“Pemuda Amanah kekal komited untuk mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik demi masa depan negara,” tegasnya.



