KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan, ada sebab kenapa penjawat awam dihadkan “financial exposure” di dalam syarikat atau mana-mana industri.
Katanya, kalaupun dia bukan Ketua Pesuruhjaya SPRM atau pun bukan Ketua Polis Negara, katakanlah dia seorang Ketua Setiausaha (KSU) atau Pengarah, mereka merangka, merancang dan melaksanakan dasar untuk negara.
“Setiap keputusan dasar ini ada pihak yang untung, ada pihak yang terkesan.
“Jika seseorang penjawat awam terlibat secara aktif dalam pemilikan saham, akan timbul persoalan motivasi kewangan. Adakah keputusan dasar dibuat semata-mata demi kepentingan awam, atau wujud dorongan keuntungan peribadi? Ini membawa kepada pertembungan kepentingan.
“Apabila seseorang yang berjawatan tinggi seperti KP SPRM rancak bermain saham dalam syarikat-syarikat, isyaratnya adalah “he is open for business” dan “financial motivation” adalah penting.
“Pasaran juga sensitif kepada “isyarat”. Bila individu berjawatan tinggi mempunyai pegangan dalam syarikat tertentu, ia boleh menghantar signal kepada kroni dan broker. Broker dan pemain pasaran sentiasa membaca perkembangan, kenyataan rasmi dan kedudukan individu berpengaruh” tegas bekas Menteri Ekonomi itu.
Ujar Rafizi, menjadi penjawat awam bukan sekadar jawatan, tetapi amanah.
“Lebih tinggi kuasa dan akses kepada maklumat, lebih tinggi keperluan untuk mengelakkan sebarang signal yang boleh menimbulkan keraguan.
“Juga akan timbul satu lagi persoalan moral yang besar iaitu dari mana datangnya sumber kewangan untuk memiliki saham-saham ini?
“Adakah hanya berjawatan dan bergaji besar sudah mampu? Jangan pandang rendah kebijaksanaan rakyat, mereka boleh congak sendiri,” tegasnya.



