Ratu Naga ditahan SPRM, rakam percakapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan aktivis politik Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga selepas menyerbu rumahnya di Kuala Lumpur pagi ini.

Suaminya Ezad Zainal berkata, lima pegawai badan antirasuah itu tiba di rumah mereka di Jalan Klang Lama sebelum jam 9.30 pagi dan menggeledah kira-kira 20 minit.

Katanya, SPRM turut merampas telefon bimbit dan laptop serta membawa Syarul Ema ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ezad dan peguam mereka Nabila Khairuddin mendakwa SPRM enggan mendedahkan sebarang maklumat termasuk sebab penangkapannya.

“Dia (pegawai) hanya beritahu saya supaya berjumpa dengannya di ibu pejabat SPRM dan saya sekarang dalam perjalanan ke sana,” katanya lapor Malaysiakini pada Jumaat.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan kes itu berkata Syarul Ema ditangkap bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan dakwaan aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin terhadap setiausaha politik kanan perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa Shamsul, melalui proksi, menyalahgunakan dana NGO.

Shamsul menafikan perkara itu dan mahu mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah SPRM Azam Baki berkata, Ratu Naga tidak ditangkap tetapi dipanggil untuk rakaman percakapan.

“Kita cuba panggil dia rakam kenyataan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 16 Akta SPRM,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Penjelasan Azam itu bagaimanapun dipertikaikan peguam Syarul Ema.

“Rumah diserbu pagi ini dan dia diambil dan dibawa dengan kereta SPRM ke Putrajaya. Dia dinafikan akses kepada peguam dan suaminya oleh pegawai penyiasat. Ini jelas satu tangkapan.

“Tidak masuk akal ketua SPRM kata ini bukan tangkapan dan ia sama sekali bertentangan dengan fakta sedia ada,” kata Nabila.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat