Suki menjiwai emosi Shila Amzah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika isu kecurangan dan keretakan rumah tangga dalam kalangan selebriti hangat diperdebatkan, Suki Low muncul dengan single Bahagia Yang Sebentar.

Sama ada kebetulan atau sengaja dirancang, kemunculan lagu ciptaan penyanyi sensasi, Shila Amzah itu menimbulkan tanda tanya apakah karya berkonsepkan pop balada itu cuba memancing emosi pendengar demi menghangatkan isu itu.

Ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Suki atau nama sebenar, Low Sook Yee, 32, terkejut. Namun, Suki menafikan lagu itu ada kaitan kontroversi yang hangat diperkatakan itu.

“Tidak terfikir pula ada yang anggap begitu. Kalau tidak terfikir, itu maknanya, bukanlah niat asal kami.

“Kalau kita baca liriknya, tidaklah menjurus ke arah kisah diperkatakan. Perkara ini sebenarnya terpulang kepada pendengar untuk membuat tafsiran ikut penilaian masing-masing.

“Lagu ini mengisahkan soal kehilangan. Jadi, sesiapa yang pernah melalui fasa kedukaan dalam hidup, pasti tersentuh apabila mendengarnya.

“Lagipun, lagu ini diberi Shila sehari selepas pertandingan Gegar Vaganza 8 berakhir. Jadi, memang tiada kaitan dengan kontroversi keretakan rumah tangga dan curang dalam kalangan selebriti,” katanya kepada BH Online.

 

Suki ketengah isu curang dan keretakan rumah tangga dalam lagu Bahagia Yang Sebentar. - NSTP/Aziah Azmee
Suki ketengah isu curang dan keretakan rumah tangga dalam lagu Bahagia Yang Sebentar. – NSTP/Aziah Azmee

 

Enggan ada pihak terus tersalah anggap, bekas juara program One In A Miliion musim pertama ini mendedahkan jalan cerita single Bahagia Yang Sebentar berkisar pengalaman dan kisah peribadi dilalui Shila.

“Apabila Shila beri lagu ini, saya bertanya kepadanya adakah dia serius kerana lirik single terbabit berkait dengan kehidupan peribadinya.

“Shila bagaimanapun menyuruh saya menyanyikan lagu itu kerana dia sudah ‘moved on’ dan enggan mengenang semula apa yang sudah berlaku,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Bahagia Yang Sebentar di ibu negara, baru-baru ini.

Tampil mengenakan sut rona merah jambu terang, Suki turut menyanyikan single terbabit sebagai hiburan kepada tetamu. Turut disajikan adalah tayangan video muzik lagu melankolik itu.

Apa yang menarik, video muzik arahan Suhaimi Yayanto itu memaparkan dua objek yang berwarna, manakala selebihnya dalam hitam putih.

Mengulas kisah di sebalik konsep itu, Suki berkata, apa yang digambarkan adalah simbolik kepada sesuatu yang menjadi kenangan.

“Kalau kita lihat dalam muzik video itu, hanya ada dua objek berwarna iaitu kamera dan selendang.

“Dua objek itu adalah simbolik kepada perkara yang meninggalkan kenangan kepada diri saya selepas melalui fasa kehilangan,” ujarnya.

Single Bahagia Yang Sebentar boleh distrim di semua pelantar digital manakala video muzik sudah ditayang di saluran YouTube Nova Music Videos.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat