Pengesahan Fitch Ratings Cermin Keyakinan Terhadap Pentadbiran Kerajaan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengesahan Fitch Ratings ke atas penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil bagi tahun 2023 mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan sekarang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini berkata pengesahan itu juga menunjukkan keyakinan agensi penarafan antarabangsa itu terhadap kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

“Penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus,” katanya yang memetik kenyataan Fitch yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut Fitch, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.8 peratus pada 2024 berbanding pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sebanyak 8.7 peratus pada 2022 ekoran kelonggaran sekatan COVID-19 dan usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan sokongan ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meluas.

Agensi penarafan itu juga menjangkakan sektor perkhidmatan sektor terus dirangsang oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan ekoran pembukaan semula China.

“Trend pertumbuhan jangka sederhana dijangka kekal teguh antara empat dan lima peratus,” katanya yang berpandangan sektor pembuatan dan eksport berkemungkinan menghadapi halangan daripada permintaan global yang lemah bagi elektronik dan komoditi,” katanya.

Sementara itu, Fitch berpendapat bahawa defisit fiskal akan berkurangan secara beransur-ansur kepada purata sekitar 4.5 peratus daripada KDNK pada 2023 – 2025, mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih baik dan langkah mobilisasi hasil yang berkesan.

Melangkah ke hadapan, Anwar berkata, kerajaan berazam untuk memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar ini di peringkat global.

“Melalui Belanjawan 2023, yang akan dibentangkan pada 24 Februari 2023, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam.

“Penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Belanjawan 2023 juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu “Membangun Malaysia MADANI”. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat