KUALA LUMPUR – Jika rakyat takut dengan lonjakan kes positif Covid-19 atau tidak peduli untuk keluar mengundi, maka UMNO akan bersorak gembira,” kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Malah Ketua Penerangan Bersatu itu memberitahu fenomena pengundian di Melaka akan berulang di Johor dan sekali gus memberi kemenangan buat UMNO.

Wan Saiful tidak percaya dengan pandangan sesetengah pihak bahawa bilangan kes positif Covid-19 sengaja dinaikkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menakutkan pengundi.

Kata beliau, tuduhan kepada KKM itu tidak wajar.

“Tetapi pandangan saya ialah, jika rakyat takut atau tidak peduli untuk keluar mengundi, maka UMNO akan bersorak gembira.

“Strategi UMNO ialah memaksimakan pengundi teras mereka yang keluar mengundi kerana kebanyakan pengundi teras UMNO memang menetap dalam kawasan. Jika pengundi yang menetap di luar tidak balik mengundi, maka UMNO akan gembira kerana yang menetap di luar kawasan ramai yang menyokong PN atau PH, bukan menyokong UMNO.

“Di Melaka itulah yang memenangkan UMNO apabila mereka yang menetap di luar kawasan tidak balik mengundi. Fenomena ini UMNO harap berulang kembali di Johor,” kata Wan Saiful malam tadi dalam Jelajah Penerangan di DUN Kukup, Johor.

Susulan itu beliau menyeru pengundi yang menetap di luar kawasan supaya merancang untuk balik mengundi pada 12 Mac nanti.

“Ini peluang untuk menentukan masa depan negeri Johor.

“Jangan lepaskan peluang ini dan pastikan undi anda adalah untuk menghentikan sifat tamak dan bongkak UMNO dan Barisan Nasional (BN),” tegas Wan Saiful.