WARISAN Sah Bertanding PRN Johor

JOHOR BAHRU – Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengesahkan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, WARISAN ingin memberi pilihan kepada pengundi Johor untuk membentuk kerajaan yang mereka inginkan.

“Walaupun ada pelbagai parti di Malaysia, yang menentukan perubahan kerajaan itu bukan parti-parti ini tetapi rakyat Malaysia itu sendiri.

“Oleh sebab itu, Warisan akan bertanding di Johor bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat. Biar rakyat yang tentukan untuk mengubah kerajaan,” katanya ketika berucap melancarkan WARISAN Johor, malam tadi.

Semasa ditanya pemberita adakah WARISAN berkemungkinan ditolak di Johor disebabkan parti berkenaan berasal dari Sabah, beliau menegaskan agar semua pihak tidak lagi mengamalkan sentimen politik perkauman dan agama di negara ini.

Jelasnya tidak salah sekiranya kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.

“Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datoh, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah?”

“PBS bertanding di Penang (Pulau Pinang), UPKO bertanding di Perak. PBS presiden dia Joseph Pairin Kitingan, presiden dia Bernard Dompok. Presiden Warisan ialah Shafie Apdal. He was a national leader. Pairin tak dikenali di Penang.

“Saya di Balik Pulau banyak keluarga. My wife dari Sungai Petani, dari Tikam Batu. Menantu saya Muar, Johor. I’ve served this country, served this nation. Not because party ini datang dari Kota Belud, Sabah. We are all Malaysians.

“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum,” katanya.

Shafie berkata, keputusan Warisan untuk bertanding di PRN Johor adalah sebagai langkah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum, yang berkemungkinan akan berlaku tahun ini.