Tuan Ibrahim tolak jangkaan menantu Hadi Pas hilang 37 kerusi Parlimen jika Samsuri jadi Pengerusi PN

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan kononnya parti itu akan kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim berkata kenyataan dibuat Ketua Pas Sungai Buloh Zaharudin Muhammad itu tidak mencerminkan pendirian parti, sebaliknya hanyalah pandangan peribadi.

Menurut Ketua Pembangkang Pahang itu, pandangan menantu Presiden Pas itu tidak selari dengan apa yang sebenarnya berlaku kerana di bawah kepimpinan Samsuri, Pas menunjukkan rekod cemerlang dalam pilihan raya di negeri berkenaan.

“Saya fikir itu pandangan peribadi beliau dan ia terpisah daripada realiti.

“Jika kita melihat kepada pencapaian kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan beliau, Pas mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya menurut BH.

Media melaporkan Zaharudin yang juga menantu Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan itu berdasarkan dapatan diperoleh daripada data dalaman parti berkenaan yang enggan didedahkannya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kenyataan itu juga harus dilihat sebagai analisis individu dan bukan pendirian rasmi parti.

“Itu adalah analisis peribadi beliau. Ia tidak mewakili Pas. Setiap orang bebas menyuarakan pandangan,” kata Tuan Ibrahim.

Kerusi pengerusi PN kini kosong susulan keputusan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu, dipercayai akibat krisis politik di Perlis menyaksikan partinya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS.

Pas menyatakan hasrat untuk mengetuai PN dengan beberapa nama dikaitkan antaranya Hadi, Tuan Ibrahim dan Samsuri.

Pelantikan itu akan dibuat pada mesyuarat tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan sekali gus menyebabkan jawatan tersebut belum diisi lebih 10 hari selepas dikosongkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat