Perwakilan sambut seruan Presiden UMNO untuk bersatu, berani hadapi realiti politik

KUALA LUMPUR — Perwakilan UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap intipati Ucapan Dasar Presiden UMNO, yang menekankan keperluan penyatuan parti, keterbukaan menerima kembali ahli lama serta keberanian berdepan dengan realiti politik semasa.

Perwakilan UMNO Kuala Selangor, Mohd Nor Saad, berkata Presiden UMNO telah membuka laluan jelas kepada seluruh ahli agar kembali bersatu di bawah satu payung perjuangan demi memperkukuh parti.

“Presiden telah membuka satu jalan kepada mereka yang berada di luar UMNO untuk kembali bersama UMNO supaya parti ini dapat menjadi satu pasukan yang kuat. Ahli-ahli UMNO bersetuju dengan intipati yang disampaikan oleh Presiden,” katanya.

Menurut beliau, seruan Presiden agar ahli-ahli UMNO bersatu turut mengaitkan kerjasama Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dengan pelaksanaan di peringkat negeri, sama ada dilaksanakan oleh UMNO sendiri atau rakan parti dalam kerajaan.

Tambahnya, sokongan perwakilan bukan sekadar dizahirkan secara lisan, malah diterjemahkan melalui tindakan jelas di dalam dewan.

“Apa yang dinyatakan oleh Presiden disahut oleh perwakilan bukan sahaja dengan perkataan ‘ya’, tetapi juga melalui perbuatan apabila mereka bangun berdiri sebagai tanda keputusan besar dan sokongan kepada Presiden,” katanya.

Sementara itu, perwakilan UMNO Kuantan, Fadwah Anuwar, menyifatkan ucapan dasar Presiden kali ini sebagai lebih jujur, berani dan realistik dalam menggambarkan cabaran sebenar yang sedang dihadapi UMNO dalam landskap politik semasa.

Beliau berkata, ucapan tersebut mengajak ahli-ahli parti untuk menerima hakikat politik pasca Pilihan Raya Negeri Sabah, termasuk realiti bahawa pertambahan keahlian UMNO tidak semestinya menjamin sokongan undi.

“Dalam tempoh kira-kira 700 hari dan dengan kemungkinan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, inilah masa paling sesuai untuk UMNO bercakap tentang realiti sebenar yang sedang dihadapi,” katanya.

Menurut beliau, UMNO perlu bersikap besar jiwa dan rendah hati dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang ingin kembali bersama parti.

“Datanglah, ini rumah bangsa, ini rumah kita,” katanya sambil menegaskan UMNO kekal sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau turut menekankan bahawa walaupun ucapan dasar Presiden kali ini lebih ringkas berbanding kebiasaan, kandungannya padat, jujur dan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan di peringkat bahagian.

“Jika hanya Presiden yang bercakap tetapi tidak diperhalusi dan direalisasikan di peringkat bahagian, maka kita semua yang akan rugi,” katanya.

Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO itu dilihat sebagai satu titik penting untuk menyatukan kembali kekuatan parti serta memperkukuh peranan UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa dan akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat