KUALA LUMPUR- Golongan bujang yang layak di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan menerima bantuan bulanan hingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing hari ini.
Kementerian Kewangan dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, bantuan itu membabitkan kira-kira 3.1 juta penerima di seluruh negara.
“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima SARA Bulanan berdasarkan dua kategori iaitu RM50 membabitkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah, manakala mereka dengan julat pendapatan sama yang juga tersenarai sebagai penerima eKasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.
Penerima SARA juga disaran membuat semakan baki bantuan berkenaan bagi memastikan kredit yang diterima dapat digunakan sepenuhnya untuk pembelian barangan keperluan asas.
Semakan baki SARA boleh dilakukan dengan mudah di pasar raya atau kedai rakan niaga terpilih dengan menggunakan MyKad.
Penerima hanya perlu memaklumkan kepada juruwang untuk semakan baki sebelum transaksi dibuat dan maklumat baki akan dipaparkan pada skrin atau resit pembelian.
Selain itu, penerima juga boleh menyemak status kelayakan serta maklumat bayaran SARA melalui portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau melalui https://www.mykasih.com.my/.
Bagi mereka yang memerlukan penjelasan lanjut, semakan turut boleh dibuat dengan menghubungi talian bantuan STR atau hadir ke mana-mana cawangan LHDN berhampiran.
SARA disalurkan bukan melalui akaun bank, sebaliknya dikreditkan terus ke MyKad penerima dan hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian di seluruh negara.



